NAJIB dan  Ma  merasmikan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), semalam.
NAJIB dan Ma merasmikan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), semalam.
Siti Fatimah Hassan dan Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Malaysia mencipta sejarah apabila menjadi negara pertama di luar China yang mempunyai Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) bagi menggerakkan sektor ekonomi digital negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Inisiatif yang diwujudkan menerusi kerjasama Malaysia dan Alibaba Group itu akan menyediakan zon fizikal dan alam maya untuk memberi kemudahan kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta memperoleh manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Internet atau e-dagang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan amat komited terhadap usaha itu dan akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap sektor ekonomi digital negara yang dipelopori oleh usahawan IKS.

“Kita amat berbesar hati dapat menjalin kerjasama ini dengan China khususnya idea ini dicetus daripada Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma.

“Kita mempunyai perancangan untuk meningkatkan perdagangan negara dan ia adalah menerusi sektor ekonomi digital di mana kerajaan akan berusaha untuk menggerakkannya bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya ketika berucap merasmikan DFTZ, di sini, semalam.

Hadir sama, Ma, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Tan Sri Sidek Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood.

Terdahulu, mereka turut menyaksikan acara pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Alibaba Group.

DFTZ dilaksanakan secara berperingkat-peringkat merangkumi e-hub di KLIA Aeropolis sebagai kemudahan logistik dan kargo udara sebelum pelaksanaan menyeluruh menjelang akhir tahun ini yang akan turut disertai oleh Alibaba, Cainiao, Lazada dan POS Malaysia.

Sementara itu, Najib berkata, kewujudan DFTZ dijangka melonjakkan pertumbuhan aktiviti e-dagang dengan lebih meluas yang disasarkan akan memberi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada RM211 bilion menjelang 2020.

“Ketika ini, kita adalah peneraju pasaran e-dagang serantau yang menjana pendapatan AS2.3 bilion (RM10.35 bilion) pada 2015.

“Oleh itu, dengan pelancaran DFTZ, Malaysia akan menjadi hab serantau bagi IKS. Satu daripada matlamatnya ialah membantu usahawan IKS mengembangkan lagi perniagaan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 11:24 AM