MUSTAFA (tengah) dan Yasmin (kanan) menjawab pertanyaan wartawan mengenai ekonomi digital.
MUSTAFA (tengah) dan Yasmin (kanan) menjawab pertanyaan wartawan mengenai ekonomi digital.
Afiq Hanif


Persepsi kehadiran Alibaba di Malaysia melalui Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) bukan bermakna lambakan produk China akan dibawa masuk ke negara ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata ia sebenarnya membuka peluang perniagaan Malaysia ke luar negara berdasarkan teknologi e-dagang sekarang.

“Ada yang kata apabila Alibaba masuk, ia bermakna produk China akan menguasai pasaran namun ia tidak tepat kerana sebaliknya berlaku apabila peniaga Malaysia mula melihat e-dagang sebagai platform mengembangkan perniagaan.

“Malah data juga menyokong pembangunan perniagaan Malaysia yang sesuai dibawa ke luar negara dengan e-dagang,” katanya.

Menurutnya, ia adalah ekonomi baru berasaskan digital yang mampu menjana pendapatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Yasmin Mahmood berkata, DFTZ akan membuka peluang kepada PKS tempatan menerokai pasaran luar negara yang lebih luas berdasarkan keupayaan platform itu yang juga sektor e-dagang ketiga terbesar di dunia.

“MDEC merancang meluaskan DFTZ di luar platform Alibaba dan melihat Lazada, 11Street dan Aladdin Street untuk fokus kepada eksport di pasaran Asia Tenggara.

“Tahun ini, kami akan mengorak langkah lebih jauh dengan memfokus kepada perluasan DFTZ yang membabitkan perdagangan melalui laut, sekali gus mengubah pasaran perdagangan global apabila fasa pertama pengembangan itu merangkumi lokasi di Malaysia seperti Pelabuhan Klang dan Bukit Kayu Hitam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 11:16 AM