Alzahrin Alias

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited menjadikan sektor e-dagang sebagai antara penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) beberapa tahun akan datang.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming berkata, kerajaan menyasarkan sektor e-dagang mampu mencecah RM211 bilion daripada KDNK pada 2020.

Menurutnya, sektor itu juga tidak seharusnya tertumpu kepada pasaran tempatan tetapi perlu dikembangkan ke pasaran ASEAN dan menjadikan Malaysia sebagai hab sektor e-dagang serantau.

“Walaupun sektor itu mencatatkan peningkatan sepanjang tujuh tahun ini kepada RM85.8 bilion dengan purata kenaikan 12.5 peratus, ia masih jauh dari sasaran yang ditetapkan.

“Oleh itu, jika kita dapat meningkatkan jumlah ini sebanyak 20 peratus menjelang 2020, ia sudah lebih mencukupi,” katanya selepas melancarkan Hari e-Dagang 2018 di sini, semalam.

Ong berkata, kerajaan melalui Majlis e-Dagang Kebangsaan (NeCC) bersama dengan MITI dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan terus meningkatkan pembangunan dan peningkatan sektor itu seiring dengan National eCommerce Strategic Roadmap (NeSR).

Katanya, MITI dan agensi terbabit akan terus menarik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai sektor e-dagang selain meningkatkan penyertaan mereka dalam Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).

“Ketika ini hanya 5,000 usahawan e-dagang menyertai DFTZ dan angka ini jauh lebih rendah berbanding jumlah usahawan e-dagang kita sebanyak 50,000.

“Jadi kami sasarkan untuk meningkatkan jumlah usahawan e-dagang dalam DFTZ sebanyak 25,000. Ini bagi membolehkan kita memasuki pasaran yang lebih luas.

“Malah, kita bukan saja menyasarkan eksport barangan ke luar tetapi membawa masuk usahawan e-dagang luar ke sini bagi memberi lebih pendedahan mengenai teknologi dan produk kepada usahawan tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 4:30 AM