MUSTAPA melawat pameran selepas merasmikan Seminar Peluang Pelaburan dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana. FOTO Faris Zainuldin
MUSTAPA melawat pameran selepas merasmikan Seminar Peluang Pelaburan dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana. FOTO Faris Zainuldin
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mensasarkan 10,000 usahawan yang akan berdaftar dengan Alibaba Group menerusi program Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dalam tempoh setahun lagi.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, setakat ini 1,972 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaftar dengan syarikat e-dagang terbesar China itu.

Katanya, daripada jumlah itu hanya 16 PKS dari Kelantan dan ia satu jumlah yang amat kecil.

"Ia satu angka menducitakan dan kita sasarkan 100 usahawan Kelantan yang akan berdaftar dengan syarikat itu tahun hadapan untuk memasarkan produk mereka.

"Usaha sedang giat dilakukan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp) untuk menarik PKS menyertai Alibaba Group.

"Mereka (peniaga) boleh memasarkan produk bagi meningkatkan jualan antaranya perniagaan makanan, minuman, kecantikan dan batik," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Peluang Pelaburan dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan negeri, Datuk Yahaya Mamat dan Pengarah Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Ahmad Khairuddin Abdul Rahim.

Beliau berkata, usahawan yang memasarkan produk menerusi syarikat e-dagang berkenaan mempunyai peluang yang besar dan cerah.

Katanya, usahawan PKS perlu merebut peluang ini.

Pada masa sama, Mustapa berkata, hingga Jun lalu, MIDA meluluskan 292 projek perkilangan dengan pelaburan bernilai RM6.5 bilion di Kelantan.

"Lebih 38,000 peluang pekerjaan dijana kepada rakyat negeri ini. Manakala, 78 peratus daripada pelaburan adalah dari sumber tempatan sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

"Peruntukan RM1 bilion kepada lima koridor utama merangkumi pembinaan pelabuhan dan kawasan perindustrian Tok Bali, Pasir Puteh yang bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi," katanya

#kw sasar 10,000 usahawan daftar Alibaba Group program DFTZ, PKS

#loc 6.1167854999999998, 102.27768380000001

Tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 6:07 PM