NOH (tengah) bersama pelakon drama Hero pada majlis pelancaran, semalam.
NOH (tengah) bersama pelakon drama Hero pada majlis pelancaran, semalam.

Putrajaya: Drama bersiri tiga belas episod bertajuk Hero yang memaparkan skop tugas serta cabaran sebagai anggota bomba disifatkan usaha menarik masyarakat terutama generasi muda menyertai kerjaya berkenaan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, pada masa sama, ia juga memberi kesedaran dan peringatan kepada penonton supaya mengambil berat soal keselamatan serta kebakaran.

“Drama ini juga sebagai platform untuk masyarakat menghayati pengorbanan pegawai dan anggota bomba yang sentiasa memberi komitmen dalam tugas memadam api serta menyelamat tanpa mengira kepentingan peribadi.

“Drama ini adalah usaha sama antara kementerian, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta syarikat produksi NS Star Sdn Bhd selain cetusan idea bekas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan,” katanya berucap pada majlis pelancaran drama Hero, di sini, semalam.

Hadir sama, timbalannya, Datuk Halimah Mohamed Sadique, Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Mohammad Mentek, Ketua Pengarah JBPM Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim dan timbalannya, Datuk Soiman Jahid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 6:39 AM