NAJIB ketika hadir di majlis pelancaran JPP peringkat kebangsaan di Putrajaya, semalam.
NAJIB ketika hadir di majlis pelancaran JPP peringkat kebangsaan di Putrajaya, semalam.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) diwujudkan di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di 11 negeri berperanan sebagai jentera transformasi sosial di kawasan bandar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau mahu JPP menjadi jentera penting di kawasan bandar sebagaimana peranan dimainkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, proses transformasi sosial perlu berlaku dalam masyarakat khusus di kawasan bandar memandangkan banyak isu yang wujud di bandar.

“Bukan sahaja isu pembangunan yang wujud di bandar, sebaliknya pelbagai isu lain termasuk keselamatan dan jenayah.

“Justeru, JPP perlu memainkan peranan menerusi konsep bandar selamat dan mereka boleh buat rondaan untuk menjaga kawasan di zon masing-masing,” katanya ketika berucap melancarkan JPP peringkat kebangsaan, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dan timbalannya, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Ketua Setiausahaa Kementerian, Datuk Mohammad Mentek.

Lebih 4,000 ahli JPP di seluruh negara hadir pada majlis pelancaran berkenaan.

Katanya, biarpun setiap kawasan bandar dikawal selia PBT dan pejabat daerah, namun penyertaan JPP di kawasan bandar dilihat mampu mewujudkan sistem kepemimpinan secara tersusun di setiap kawasan bandar.

Najib berkata, sudah tiba masanya kawasan bandar turut mempunyai jentera yang membabitkan penyertaan rakyat di bandar.

Menurutnya, garis dan skop kerja JPP lebih kurang sama dengan pe ranan ketua kampung di luar bandar, namun isu dihadapi mungkin lebih kompleks dan mencabar kerana perlu berdepan masyarakat yang lebih berpendidikan.

“Saya baru balik dari Jepun dan saya lihat masyarakat bandar di sana bukan hanya menjaga kawasan kediaman sahaja, sebaliknya turut menguruskan jalan raya di kawasan mereka sendiri biarpun ia di bawah kawal selia PBT.

“Tahap kesedaran masyarakat di sana (Jepun) tinggi. Justeru, kita mesti dipupuk dengan nilai dan unsur baik supaya rakyat di bandar ada semangat kejiranan, kesepakatan dan perpaduan di peringkat akar umbi lagi,” katanya.

JPP ditubuhkan di seluruh negara kecuali di kawasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Perbadanan Labuan, Pihak Berkuasa Tempatan Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim, Lembaga Bandaran Johor Tenggara dan Lembaga Kemajuan Tioman.

Buat masa ini, pihak berkuasa negeri Sabah dan Sarawak menolak pelaksanaan JPP di kedua-dua negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 2:41 AM