SITI Nur Shuhada kini bahagia bersama suami dan tiga anak.
SITI Nur Shuhada kini bahagia bersama suami dan tiga anak.
SITI Nur Shuhada memantau aktiviti pembelajaran khas pelajarnya.
SITI Nur Shuhada memantau aktiviti pembelajaran khas pelajarnya.
SITI Nur Shuhada mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu di SMPK Setapak.
SITI Nur Shuhada mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu di SMPK Setapak.
Syah Rul Aswari AbdullahAsmah RusmanNorasikin Daineh dan Nor 'Asyikin Mat Hayin dan Ainul Fatihah Mansor

Kuala Lumpur: Pemandangan gelap disebabkan kecacatan penglihatan tidak bermakna masa depan golongan berkenaan turut gelap.

Malah, kekurangan itu sebenarnya menjadi batu loncatan untuk mencipta kejayaan setanding dengan insan normal lain sekiranya disertai dengan keinginan dan kesungguhan untuk berjaya.

Semangat itu menjadi pendorong kepada seorang guru Sekolah Menengah Pendidikan Khas Cacat Penglihatan (SMPK) Setapak yang mempunyai masalah penglihatan untuk berjaya dan merealisasikan cita-citanya menjadi guru.

Sinar kehidupannya bermula apabila memperoleh keputusan cemerlang pangkat satu dengan 13 agregat dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lima prinsipal dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Kecemerlangan itu membolehkan Siti Nur Shuhada Chong Abdullah, 44, menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Sosial pada 1997 dan Diploma Pendidikan tiga tahun kemudian.

Siti Nur Shuhada berkata, kini kejayaan dan segala ilmu yang dimilikinya untuk dikongsikan bersama 140 pelajar sekolah berkenaan kerana mahu mereka berjaya seperti dirinya.

Dia yang mengajar mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dan Bahasa Melayu berkata, memang menjadi impiannya untuk menabur bakti mendidik golongan senasib dengannya kerana lebih memahami kehendak dan mudah membantu mereka.

“Lima belas tahun berkhidmat di sekolah ini banyak memberi kenangan indah kepada saya kerana dapat melahirkan ramai pelajar yang berjaya dengan kerjaya masing-masing.

“Ini sebenarnya beri kepuasan berganda kepada saya. Lebih menyentuh hati apabila mereka tidak pernah melupakan saya dan sering menghubungi walaupun agak tegas ketika mengajar dalam kelas,” katanya.

Katanya, perjuangannya sebagai guru dilakukan dengan penuh keikhlasan dan pemberian dua Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada 2002 dan 2009 adalah sesuatu tidak pernah dijangka sepanjang hayatnya.

Anak kelahiran Perak ini berkata, dia gembira sempat berkongsi kejayaan menjadi guru dengan kedua-dua mendiang ibu bapanya, Chong Kim Fook dan Lim Mooi Kiew sebelum mereka meninggal dunia pada 2003 dan 2004.

“Memang sedih kehilangan mereka kerana kejayaan saya adalah berkat doa daripada mereka yang menjadi sumber kekuatan ketika dalam kesukaran menuntut ilmu sebagai orang kurang upaya (OKU).

“Jasa mereka membesarkan saya tidak akan dilupakan dan bangga memiliki ibu bapa seperti ini kerana tidak pernah berasa malu mempunyai anak OKU,” katanya.

Siti Nur Shuhada berkata, kesedihan itu beransur hilang apabila menjalani kehidupan bahagia bersama suaminya yang juga OKU iaitu Roslan Arshad, 45, dan tiga anak lelakinya berusia antara 11 dan 17 tahun.

Katanya lagi, tiada apa yang diharapkan pada sambutan Hari Guru tahun ini bertemakan Guru Pembina Negara Bangsa melainkan dapat terus menabur bakti mendidik dan melahirkan pelajar OKU cemerlang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 7:13 AM