CATHY (tengah) bergambar dengan pelawat asing yang berkunjung ke Pusat Seri Mengasih, Kota Kinabalu.
CATHY (tengah) bergambar dengan pelawat asing yang berkunjung ke Pusat Seri Mengasih, Kota Kinabalu.
Amniera Naziera Amran


Kota Kinabalu: Apabila membayangkan tenaga pengajar untuk melatih orang kurang upaya (OKU), pasti kita terbayang guru normal yang petah berkata-kata.

Bagaimanapun, di Pusat Seri Mengasih di sini, seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang cacat kedua-dua tangan dan kaki, Lee Fui Chen, 38, sudah 10 tahun menabur bakti menjadi tenaga pengajar bagi memberi latihan kepada individu sepertinya.

Lebih manis, wanita berkenaan juga adalah bekas pelajar di pusat yang memberi kemudahan latihan secara intensif bagi mengajar OKU supaya dapat melakukan aktiviti harian di samping menceburi bidang pekerjaan itu.

Lee yang lebih mesra dengan panggilan Cathy itu berkata, dia tidak pernah menganggap kekurangan dirinya itu sebagai halangan mengejar cita-cita untuk berjaya seperti insan lain.

Menurutnya, apa yang lebih membanggakan apabila dia dapat menabur bakti kepada rumah kebajikan berkenaan yang dianggap sebagai rumah keduanya itu.

Anak sulung daripada lima beradik ini berkata, dia ditawarkan menjadi tenaga pengajar selepas hampir 15 tahun menerima latihan di pusat berkenaan.

“Saya menghargai pengiktirafan itu yang membuatkan saya tidak pernah berputus asa meneruskan kehidupan.

“Saya kuatkan hati dan yakin dengan kebolehan yang saya miliki dalam bidang menghasilkan kraf. Sedikit demi sedikit, masyarakat percaya dengan hasil tangan saya,” katanya ketika ditemui.

Wanita itu berkata, dia pernah menerima tempahan menghasilkan 1,000 kad kahwin.

Katanya, dia menyahut cabaran itu dengan bantuan empat pelajarnya yang juga OKU.

“Walaupun saya mengalami masalah dari segi pertuturan namun mereka dapat memahami arahan dan tunjuk ajar yang saya berikan,” katanya.

Menceritakan kisah hidupnya, Cathy berkata, dia menghidap demam kuning pada tahap yang melampau sebaik dilahirkan.

Katanya, ia menyebabkan dia mengalami kerosakan pada saraf hingga mengalami kecacatan pada tangan dan kaki dan anggota yang lain.

“Bagaimanapun, saya sentiasa menganggap diri saya sempurna seperti individu lain.

“Saya tidak mahu membebankan orang lain,” katanya.

Wanita ini berkata, dia mahu berjaya seperti insan lain dan tidak mahu masyarakat memandang rendah dengan golongan OKU.

“Matlamat itu menyebabkan saya dapat mengharungi pelbagai cabaran dalam hidup,” katanya.

Tidak ramai yang tahu bahawa Cathy meraih pelbagai pengiktirafan termasuk daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

Malah, wanita itu berjaya menawan hingga ke Laban Rata, Gunung Kinabalu dibantu dengan malim gunung pada 2001.

Biarpun tidak sampai ke puncak gunung berkenaan, pencapaiannya sangat membanggakan memandangkan dia kekurangan dari aspek fizikal berbanding pendaki lain.

Menurut Cathy, atas sokongan keluarga, guru dan rakan, dia juga mampu mengendalikan pelbagai program kemasyarakatan bagi menyedarkan masyarakat bahawa peritnya kehidupan yang dialami OKU.

“Saya mahu masyarakat sedar bahawa OKU juga mempunyai perasaan seperti orang lain,” katanya.

Sementara itu, kerani Bahagian Latihan Dewasa Pusat Seri Mengasih, Irene Tioon berkata, Cathy adalah bekas pelajar pusat terbabit yang menjadi suri teladan kepada pelajar lain kerana kemahirannya dalam bidang kraf.

Malah katanya, Cathy juga cemerlang dalam bidang sukan apabila pernah mewakili negara bagi Pertandingan Boling OKU Peringkat Antarabangsa di Taiwan.

“Hasrat kami di sini bukan setakat membimbing mereka (OKU) dalam melakukan aktiviti seharian, malah mampu mengajar mereka berdikari untuk kehidupan masa hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 11:43 AM