Sumairi (tengah) menerima Anugerah Guru Cemerlang Itqan KAFA yang disampaikan Mohd Ajib (kiri)  pada majlis Perhimpunan Bulanan Warga JAWI dan Sambutan Hari Guru yang  di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semalam. FOTO ihsan Jawi
Sumairi (tengah) menerima Anugerah Guru Cemerlang Itqan KAFA yang disampaikan Mohd Ajib (kiri) pada majlis Perhimpunan Bulanan Warga JAWI dan Sambutan Hari Guru yang di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semalam. FOTO ihsan Jawi
Samadi Ahmad


Putrajaya: Berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan sejak kecil bukan penghalang buat seorang guru, Sumairi Zainol,47, menabur bakti mendidik anak bangsa.

Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Murid Berkeperluan Khas (MBK), Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 berkata, dia mula terbabit dalam bidang perguruan sejak 2012 khusus bagi mendidik pelajar pendidikan khas.

Dia yang berasal dari Kampung Tanjung Kapor, Jitra, Kedah, memberitahu cacat penglihatan sejak berumur dua tahun lagi.

Namun menurutnya, kekurangan itu menjadi satu kelebihan dan motivasi kepadanya dalam memahami kerenah pelajar.

Menurutnya, mengajar anak-anak pendidikan khas bagaikan satu tanggungjawab berat memandangkan mereka perlu diajar mengikut kesesuaian masing-masing.

Katanya, sepanjang berkecimpung dalam bidang ini, dia pernah berdepan dengan pelajar yang tidak mengenal huruf jawi dan membaca al-Quran.

"Cabaran itu adalah antara penguat semangat saya untuk mendidik pelajar pendidikan khas terdiri daripada pelbagai kategori.

"Sepanjang menjadi guru, seramai 15 pelajar MBK sudah mampu membaca al-Quran menggunakan Braille dengan baik dan menyasarkan lebih ramai pelajar dalam kategori itu mampu membaca al-Quran di masa depan, "katanya.

Penat lelah dan pengorbanan Sumairi dalam mendidik anak-anak pendidikan khas selama ini berbaloi apabila beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Guru Cemerlang Itqan KAFA pada majlis Perhimpunan Bulanan Warga Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Sambutan Hari Guru yang berlangsung di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, semalam.

Pada majlis itu Sumairi menerima sijil penghargaan dan wang tunai yang disampaikan Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Sumairi berkata, dia terharu dengan anugerah itu kerana ia pertama kali diterima sepanjang menceburi kerjaya itu dan akan dijadikan sebagai motivasi untuk terus mencurahkan bakti kepada golongan OKU.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 5:57 PM