Mary Yap (tengah) menyampaikan hadiah kepada  pemenang hadiah cabutan bertuah  SSPN-i Plus ketika majlis pelancaran pakej baru SSPN-i Plus di Menara PTPTN, semalam.
Mary Yap (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang hadiah cabutan bertuah SSPN-i Plus ketika majlis pelancaran pakej baru SSPN-i Plus di Menara PTPTN, semalam.
Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) di bawah kendalian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mencatatkan jumlah deposit RM2.1 bilion dengan 2.5 juta akaun sejak diperkenalkan pada 2004 hingga 29 Februari lalu

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, berikutan prestasi memberangsangkan itu PTPTN mengumumkan kadar dividen SSPN-i bagi tahun lalu sebanyak empat peratus.

Katanya, pemberian dividen itu membabitkan peruntukan RM60.8 juta.

“Kadar yang diberikan ini lebih tinggi daripada kadar faedah atau keuntungan untuk akaun simpanan oleh kebanyakan institusi kewangan.

“Pemberian kadar dividen yang tinggi ini diharap menjadikan SSPN-i lebih berdaya saing dan menarik lebih banyak pembukaan akaun serta penambahan deposit,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya, Datuk Mary Yap Kain Ching yang mewakilinya pada Majlis Pelancaran Pakej Baharu SSPN-i Plus, Ejen Online PTPTN dan Penyampaian Hadiah Cabutan di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN Wan Ahmad Wan Yusoff.

Idris berkata, sempena tahun pertama pelancaran SSPN-i, pendeposit yang membuat simpanan serendah RM50 berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik bernilai RM3 juta dengan hadiah utama apartmen bernilai RM500,000 di Lembah Klang, kereta BMW, Honda HRV, motosikal Kawasaki dan baucar tunai dengan cabutan hadiah berakhir pada 31 Mei ini.

Katanya, mana-mana pendeposit yang membuka akaun mulai 15 April hingga 31 Mei ini dan memilih pembayaran komitmen bulanan menerusi potongan gaji akan diberikan satu bulan deposit percuma.

Beliau berkata, PTPTN turut memperkenalkan program pemasaran bagi produk SSPN-i Plus menerusi Ejen Online (atas talian) dan mereka layak diberi komisen pada kadar ditetapkan bagi setiap transaksi pembukaan akaun baharu.

“Ejen Online PTPTN ini terdiri daripada Rakan Niaga Affiliate dan Ejen Pemasaran Online.

“Bagi Rakan Niaga Affiliate, mereka akan menerima komisen 15 peratus manakala Ejen Pemasaran Online 25 peratus,” katanya.

Menurutnya, Ejen Online ini diperkenalkan untuk menggalakkan penyertaan rakyat Malaysia menyimpan dalam SSPN-i Plus kerana dengan adanya ejen ini, akan membantu rakyat Malaysia membuka akaun dan transaksi dengan lebih mudah.

Katanya, Ejen Online PTPTN tidak perlu menyediakan modal, waktu kerja yang fleksibel, latihan dan bimbingan berterusan serta ia tidak membabitkan transaksi tunai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 4:57 AM