Gombak: Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan simpanan bagi akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) pada musim perayaan kali ini berjumlah RM4 hingga RM7 juta.

Pengurus Besar Kanan PTPTN Tuan Din Tuan Mat berkata, sasaran itu berdasarkan trend pemberian duit raya kepada kanak-kanak yang masih subur dalam kalangan masyarakat pada Aidilfitri.

“Setiap tahun, pada minggu perayaan, PTPTN menerima simpanan bagi akaun SSPN-i berjumlah antara RM4 hingga RM7 juta.

“Pada raya kali ini, sasaran sama ditetapkan serta berharap ibu bapa memanfaatkan duit raya anak-anak untuk disimpan ke tabung SSPN-i bagi masa depan pendidikan mereka,” katanya.

Tuan Din ditemui pada program Raya Bersama Tabung Pendidikan di Plaza Tol Gombak, di sini, semalam.

Pada program itu sebanyak 1,000 beg cenderahati diagihkan kepada pengguna yang pulang ke pantai timur melalui tol berkenaan.

Beg berkenaan mengandungi sampul raya PTPTN, kuih raya, risalah penabungan SSPN-i, SSPN-i Plus, bayaran balik dan direktori cawangan serta Eksekutif Pemasaran Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Tuan Din berkata, program itu juga adalah simbolik PTPTN untuk menggalakkan seluruh rakyat memulakan penabungan dengan PTPTN bagi tujuan pendidikan tinggi anal..

PTPTN pada Jun lalu, memperkenalkan satu produk baru simpanan masa depan pendidikan iaitu SSPN-i Plus yang menggabungkan simpanan pendidikan dan pakej perlindungan takaful yang murah dan komprehensif.

Sempena tahun pelancaran SSPN-i Plus, PTPTN turut menganjurkan cabutan bertuah kepada semua pendeposit yang membuat pembukaan akaun dengan hadiah utama sebuah apartmen bernilai hampir RM500,000 selain empat kereta BMW.

PTPTN turut menyasarkan jumpah deposit bagi SSPN-i Plus adalah sebanyak RM2 bilion menjelang 2020, manakala sehingga 31 Mei, jumlah akaun SSPN-i mencecah 2.3 juta akaun dengan jumlah deposit RM1.7 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:07 AM