IRWAN  (kiri) bersama ahli keluarganya  bersama kereta Honda HRV 1.8L V di  Busana Menara MARA, Kuala Lumpur.
IRWAN (kiri) bersama ahli keluarganya bersama kereta Honda HRV 1.8L V di Busana Menara MARA, Kuala Lumpur.
Oleh Hamizah Badiran

Kuala Lumpur: “Bagaikan mimpi kerana saya tidak terfikir langsung akan memenangi sebarang hadiah apatah lagi sebuah kereta mewah ketika membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) untuk lima anak saya pada Mei lalu.

“Namun, mungkin ini yang dikatakan rezeki,” kata pengurus di syarikat swasta, Irwan Ismet, 45, apabila memenangi hadiah pertama berupa sebuah kereta Honda HR-V 1.8L V dalam cabutan hadiah Simpanan Bonanza! SSPN-i Siri Pertama 2015, semalam.

Menurut Irwan, ketika mendapat panggilan telefon mengatakan dirinya memenangi hadiah utama itu daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sukar baginya untuk percaya dan terlintas di fikiran ia mungkin satu panggilan daripada pihak tidak bertanggungjawab.

“Apabila berita itu disahkan melalui surat rasmi daripada PTPTN, saya seperti tidak percaya kerana baru membuka akaun untuk mereka pada Mei lalu. Saya menjadi pendeposit kerana mahu menabung untuk pendidikan anak-anak dan baru tahu bahawa tabungan SSPN-i boleh mendapat pelepasan taksiran cukai.

“Cuma, selepas selesai urusan di kaunter, petugas di situ ada memberikan saya risalah dan memberitahu saya layak untuk tersenarai dalam cabutan hadiah ini. Jujur saya tidak menyangka sama sekali tuah menyebelahi saya dan kegembiraan ini sukar diungkapkan dengan kata-kata,” katanya ketika Majlis Penyampaian Hadiah Simpanan Bonanza! dan Vaganza! SSPN-i Siri Pertama 2015 di Busana @ Menara MARA di sini, semalam.

Bagi pemenang ketiga cabutan hadiah Simpanan Vaganza! SSPN-i Siri Pertama 2015 Zon Timur, Abd Aziz Hasan Raza, 60, walaupun hanya mendapat TV LED 40 inci, dia dan keluarga berasa amat gembira.

Menurutnya, ketika dihubungi pihak PTPTN memberitahu dirinya salah seorang penerima hadiah dia hanya tersenyum dan bersyukur kerana menganggap ia rezeki anak-anak.

“Dari dulu lagi saya mencari tabungan pendidikan yang terbaik untuk dua anak saya yang berumur 13 dan 17 tahun, tetapi sebagai orang kampung, susah bagi saya mendapat maklumat penuh mengenainya.

“Saya mengetahui kewujudan SSPN-i selepas menonton televisyen dan terus percaya ia adalah pilihan tabungan pendidikan terbaik untuk mereka. Justeru, saya ke kaunter PTPTN yang terletak di Kota Bharu, Kelantan,” katanya.

Terdahulu, Irwan, Abd Aziz dan pemenang lain menerima hadiah masing-masing daripada Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Hadir sama memeriahkan majlis, Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN Agos Cholan.

Selain Honda HR-V 1.8L V dan TV LED 40 inci, hadiah yang diterima pemenang lain adalah Proton Iriz 1.3L Eksekutif CVT, motosikal SYM VTS 200, motosikal Yamaha 135LC, Macbook Pro 13’ Retina Display dan pelbagai gajet.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, SSPN-i adalah instrumen simpanan yang menggalakkan masyarakat merancang kewangan mereka dengan betul bagi tujuan penabungan khusus untuk pendidikan tinggi di masa depan.

“Amalan menabung perlu digalakkan kerana pada masa ini masih ramai di antara kita belum melakukan perancangan kewangan yang baik terutama untuk tujuan pendidikan anak pada masa depan.

“Saya percaya kepada pepatah sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Biar pun bermula dengan jumlah yang kecil, tetapi jika konsisten dan berdisiplin membuat simpanan, kewangan itu pasti mencukupi untuk pembiayaan pendidikan.

“Menerusi skim daripada PTPTN ini, ibu bapa boleh menyimpan untuk anak-anak ketika mereka masih bayi lagi,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan promosi melalui penganjuran program sebegini adalah antara langkah proaktif PTPTN untuk terus memberi galakan kepada masyarakat membuat tabungan secara konsisten dan bukan hanya membuka akaun dengan jumlah minimum bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan pendidikan apabila ditawarkan ke universiti.

Sejak SSPN-i dilancarkan pada 2004 hingga 31 Julai 2015, jumlah pembukaan SSPN-i adalah sebanyak hampir 2.4 juta akaun dengan jumlah deposit terkumpul sebanyak RM1.7 bilion.

Malah, sejak program promosi cabutan hadiah ini dilancarkan pada April lalu, jumlah akaun baru dan jumlah keseluruhan deposit yang diterima sehingga 31 Julai 2015 adalah sebanyak 115,112 akaun bersamaan RM69.18 juta.

“Ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM18 juta atau 35.5 peratus dibandingkan dengan tempoh sama pada 2014.

“Selain berpeluang memenangi hadiah menarik, pendeposit SSPN-i juga mendapat pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM6,000 setahun, perlindungan takaful secara percuma jika mempunyai simpanan RM1,000 ke atas, pemberian geran sepadan sehingga RM10,000 kepada satu keluarga yang layak, kadar dividen kompetitif dan dikecualikan daripada cukai pendapatan.

“Pada tahun lalu, dividen yang diberikan adalah pada kadar 4.25 peratus,” kata Shamsul Anuar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:09 AM