Mahaizura Abd Malik


PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hari ini, mengumumkan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi tahun 2019 untuk dua produknya iaitu SSPN-i dan SSPN-i Plus sebanyak empat peratus.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata, agihan itu membabitkan peruntukan berjumlah RM147.25 juta yang akan memberi manfaat kepada lebih 4.39 juta pendeposit SSPN.

Katanya, pada 2019, PTPTN berjaya mencapai peningkatan tertinggi jumlah simpanan SSPN dengan keuntungan pelaburan mampan hingga mampu memberikan dividen kompetitif kepada pendeposit SSPN.

“Bagi tahun 2019, SSPN memperoleh keuntungan pelaburan berjumlah RM205.27 juta. Ia menunjukkan peningkatan RM41.73 juta (25.52 peratus) berbanding RM163.54 juta pada tahun 2018.

“Keuntungan SSPN 2019 ini, adalah tertinggi pernah dicapai dalam sejarah PTPTN.

“PTPTN juga berjaya mencapai kutipan deposit SSPN bagi tahun 2019 berjumlah RM1.37 bilion tertinggi pernah dicapai PTPTN sejak produk SSPN diwujudkan pada tahun 2004,” katanya.

WAN Saiful Wan Jan ketika majlis pengumuman dividen SSPN 2019 dan pelancaran ganjaran kesetiaan SSPN-i 2020 di Menara PTPTN, Jalan Yap Kwan Seng. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
WAN Saiful Wan Jan ketika majlis pengumuman dividen SSPN 2019 dan pelancaran ganjaran kesetiaan SSPN-i 2020 di Menara PTPTN, Jalan Yap Kwan Seng. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Dividen SSPN 2019 & Pelancaran Ganjaran Kesetiaan SSPN-i 2020 di Menara PTPTN di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, agihan dividen berkenaan akan mula dimasukkan ke akaun pendeposit mulai Sabtu ini.

Sementara itu, beliau berkata pendeposit SSPN-i yang membuka akaun untuk jangka masa panjang sebelum tahun 2017 dan menambah simpanan mereka sepanjang tempoh promosi mulai hari ini hingga 30 April akan diberikan Ganjaran Kesetiaan 2020 sebanyak satu peratus.

“Ini adalah insentif khas sebagai pulangan tambahan selain dividen tahunan,” katanya.

Katanya, PTPTN turut menyasarkan RM1.5 bilion kutipan deposit SSPN untuk tahun ini.

WAN Saiful (kanan) dan  Ahmad Dasuki ketika majlis pengumuman dividen SSPN 2019 dan pelancaran ganjaran kesetiaan SSPN-i 2020 di Menara PTPTN, Jalan Yap Kwan Seng. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
WAN Saiful (kanan) dan Ahmad Dasuki ketika majlis pengumuman dividen SSPN 2019 dan pelancaran ganjaran kesetiaan SSPN-i 2020 di Menara PTPTN, Jalan Yap Kwan Seng. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 1:14 PM