Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mazalan Mohd Noor (tengah) dan  Abdul Rahman  (dua dari kanan) beramah mesra bersama pelajar selepas perasmian Program Jelajah AADK di Plaza Alam Sentral.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mazalan Mohd Noor (tengah) dan Abdul Rahman (dua dari kanan) beramah mesra bersama pelajar selepas perasmian Program Jelajah AADK di Plaza Alam Sentral.

Shah Alam: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan kerajaan negeri menjalin kerjasama erat dalam usaha memerangi musuh nombor satu negara itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Izhar Abu Talib berkata, usaha dan sokongan daripada kerajaan negeri sentiasa diperlukan kerana Selangor berada di tangga ketiga tertinggi dalam statistik penagih dadah di Malaysia bagi 2015 dengan 3,085 penagih direkodkan berbanding 2,112 pada 2014.

“Selangor menduduki tangga keempat di belakang Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Usaha dan kerjasama bersama kerajaan negeri sentiasa diperlukan bagi meningkatkan pelaksanaan program pencegahan, rawatan, pemulihan serta penguatkuasaan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Pencegahan AADK, Abdul Rahman Hamid, Pengarah AADK Selangor, Alias Jaafar, Setiausaha Kehormat Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Zafril Mohd Eusoff serta 30 warga kerja AADK.

Rombongan lawatan kerja berkenaan turut mengadakan perbincangan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Amin Ahya.

Selain itu, lawatan kerja itu juga bertujuan memberi maklumat dan perkembangan terkini mengenai masalah dadah di Selangor serta merangka pelan tindakan sewajarnya bersama kerajaan negeri.

Pada masa sama, Izhar berkata, pihaknya akan memberi penekanan terhadap pelajar dan belia di negeri ini sebagai usaha memerangi dadah.

“Menerusi kerjasama ini, AADK akan mengadakan kempen anti dadah di sekolah-sekolah menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan belia menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Mereka yang berusia 19 tahun hingga 39 tahun didapati mudah terpengaruh untuk menagih dadah dan polanya menunjukkan peningkatan. Situasi ini amat membimbangkan dan semua pihak perlu bersama-sama membanteras gejala yang merosakkan generasi masa depan negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 8:28 AM