SUTEKNO (kiri) bersama-sama Zulkifli menandatangani Surat Pertukaran Niat sambil disaksikan Nor Azmie. FOTO Ihsan AADK
SUTEKNO (kiri) bersama-sama Zulkifli menandatangani Surat Pertukaran Niat sambil disaksikan Nor Azmie. FOTO Ihsan AADK
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kerajaan Negeri Selangor komited dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah dengan menjadi negeri perintis bagi pelaksanaan sistem pendigitalan pengurusan penagih dadah menerusi penggunaan aplikasi i-Pulih.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Nor Azmie Diron berkata, program itu adalah antara rawatan psikososial menggunakan Modul Kepimpinan Kendiri (SLC) yang dijayakan menerusi kerjasama antara kerajaan negeri, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Aplikasi i-Pulih juga berupaya meningkatkan kadar pemulihan penagih dadah di negeri ini.

"Saya berharap dengan pelancaran aplikasi i-Pulih ini, AADK bersama UPM dapat mencungkil dan menggilap bakat serta potensi sebenar diri penagih dadah.

"Melalui pendekatan Transformasi Pendigitalan Program Rawatan i-Pulih ini juga, diharapkan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan di negeri ini tampil dalam usaha membasmi penyalahgunaan dadah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani Surat Pertukaran Niat (LOI) antara AADK yang diwakili Ketua Pengarahnya, Sutekno Ahmad Belon manakala UPM diwakili Timbalan Naib Canselor Penyelidikan Dan Inovasi UPM, Prof Datuk Dr Zulkifli Idrus.

Mengulas lanjut katanya, pelancaran transformasi pendigitalan program rawatan dan pemulihan serta aplikasi i-Pulih itu adalah bukti kerajaan negeri sentiasa komited dan memberikan sokongan jitu kepada AADK, khususnya dalam usaha melaksanakan program pencegahan dadah.

"Selain itu, program penguatkuasaan dadah serta program rawatan dan pemulihan dadah juga antara yang diberi perhatian semua bagi memastikan usaha membasmi gejala penagihan dadah dapat dilakukan dengan lebih komprehensif.

"Usaha ini selaras dengan matlamat kerajaan negeri yang mahu menjadikan Selangor sebagai negeri pertama yang melaksanakan sistem pendigitalan menerusi program pemulihan dadah di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 5:31 PM