SEBAHAGIAN penagih yang ditahan dalam 'Ops Perdana’  AADK di tanah rancangan FELDA sekitar Jerantut.
SEBAHAGIAN penagih yang ditahan dalam 'Ops Perdana’ AADK di tanah rancangan FELDA sekitar Jerantut.
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


Seremban: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan yakin dapat mencapai sasaran ditetapkan kerajaan negeri menjadi negeri sifar dadah hasil usaha dilakukan untuk memerangi aktiviti penyalahgunaan dadah secara berterusan.

Usaha menampakkan kesan ketara adalah pengenalan kepada program 1 Perkongsian Strategik Komuniti (1SPC) yang dilaksanakan sejak 2014, dengan jumlah penagih menunjukkan pengurangan berbanding sebelum pelaksanaan program itu.

Berkongsi mengenai 1SPC, Pengarah AADK Negeri Sembilan Ismail Ahmad Khairi berkata, ia bermula selepas aduan penduduk di Kampung Sungai Buluh, Jelebu, yang mendakwa tidak selamat kerana menjadi sarang penagihan dadah.

Menurutnya, kerjasama kerajaan negeri dan beberapa jabatan lain, AADK ‘mencipta’ penyelesaian dengan mewujudkan program 1SPC yang bertujuan menyelesaikan masalah penyalahgunaan dadah dihadapi kampung tradisi serta kawasan tanah rancangan FELDA.

“Kita (AADK) juga mendapat kerjasama pegawai daerah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), kariah masjid dan penduduk. Kita mengumpulkan penagih dan penduduk melalui program mentor mentee iaitu melantik penduduk sebagai keluarga angkat kepada penagih.

“Selain itu, kita mengadakan program keluarga sejahtera, ziarah kasih, klinikal, doktor muda dan ‘family bonding’ yang disertai Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Kesihatan, Jabatan Pendidikan, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Ia berjaya mencapai matlamat iaitu penagih dadah tidak kembali menagih, tiada penagih baru, mengurangkan kadar jenayah kecil dan penagih bersama AADK melaksanakan program berkaitan dadah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini.

Susulan kejayaan projek perintis 1SPC di kampung berkenaan, Ismail berkata, program itu kemudian diluaskan ke 18 kampung lain yang dikategorikan kawasan panas, bermula Ogos tahun lalu.

Kawasan berkenaan ialah FELDA Palong 1 hingga 4 di Jempol; FELDA Kepis, Kuala Pilah; FELDA Jelai 1 hingga 4, Tampin; FELDA Pasoh 4, Jelebu; Telok Kemang, Port Dickson; pekan Rembau; Kampung Linsum, Ulu Lalang, Kampung Jiboi, Kampung Solok dan Panchor di Seremban.

Katanya, berdasarkan statistik pada Januari hingga Julai tahun lalu, jumlah penagih dadah di 18 kawasan berkenaan adalah seramai 2,467 orang namun berkurangan kepada 2,266 orang, bagi tempoh sama tahun ini.

Beliau berkata, impak yang terhasil daripada 1SPC adalah penagih yang melalui proses pemulihan kekal pulih walaupun ujian saringan dibuat mengejut, ahli keluarga memberi komitmen membantu penagih pulih, penagih mencari pendapatan melalui aktiviti pertanian dan penternakan selain terbabit aktiviti sukarelawan.

“Program ini adalah satu kolaborasi strategik yang relevan antara AADK dan agensi kerajaan lain melalui gandingan kreatif dan kos minimum.

“Malah, melalui konsep mentor mentee yang dilaksanakan itu juga bertepatan dengan kehendak pemantauan, kawalan yang lebih efektif membendung masalah penagihan dadah dan memberi kehidupan baru kepada penagih kerana dapat bergaul dengan masyarakat,” katanya.

Tambahnya, masyarakat perlu bersama memerangi penyalahgunaan dadah di kawasan mereka dan tidak boleh lepas tangan dengan menyerahkan tugas itu sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Peranan mereka amat penting terutamanya sebagai mata dan telinga kepada AADK, malah mereka boleh mendekati penagih dan menarik penagih keluar daripada terus terjebak gejala tidak sihat itu.

“Penyertaan komuniti penting bagi mengikis tanggapan negatif terhadap kumpulan penagih dan membantu penagih untuk berubah menjadi lebih baik melalui sokongan moral,” katanya.

Ismail berkata, program 1SPC itu akan diperluaskan ke seluruh negeri ini, bermula awal tahun depan.

Beliau yakin akan dapat mencapai sasaran menjadi negeri sifar dadah pada 2020, sekiranya masyarakat terus memberi komitmen yang tinggi dan membantu AADK memerangi dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 6:02 AM