BERNAMA

Shah Alam: Sesetengah wanita percaya dadah dapat menurunkan berat badan menyebabkan ia menjadi penyumbang peningkatan jumlah wanita yang mengambil dadah.

Pengarah Bahagian Pencegahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Abdul Rahman Hamid berkata, pada 2013, hanya 0.1 peratus daripada kira-kira 20,887 penagih dadah adalah wanita namun, angka itu meningkat sehingga 2015.

"Selepas 2013, peratus wanita meningkat dan kini mencapai sehingga empat peratus sedangkan kita jangka ia sepatutnya menurun kerana pada waktu itu hanya 0.1 peratus," katanya pada majlis pelancaran Jelajah AADK Ekspedisi Membanteras Dadah peringkat negeri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Izhar Abu Talib di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata, kajian AADK mendapati faktor kurang peka dengan ketagihan yang bakal dialami menyebabkan wanita cenderung memilih dadah baharu jenis sintetik yang mudah didapati.

“Wanita mudah terpengaruh apabila ada yang mengatakan pil ecstasy mampu menjadikan seseorang itu kurus menyebabkan mereka sanggup mengambil dan mengamalkannya," katanya.

Menurutnya, wanita akan menjadi fokus utama pembendungan gejala dadah tahun ini berikutan peningkatan peratusan itu memberikan impak besar kepada pembangunan generasi akan datang, termasuk pemantapan program kesedaran dalam pendidikan sekolah rendah hingga universiti selain pemantauan bersepadu dalam operasi penguatkuasaan.

Sementara itu, Izhar berkata sepanjang tahun lalu, 3,085 penagih dadah dari 15 kawasan berisiko tinggi penagihan dikenal pasti di seluruh Selangor, antaranya di Klang, Petaling, Serdang, Gombak dan Pandan Indah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 10:29 PM