PELAJAR  Sekolah Menengah Holy Trinity, Tawau menyertai Program Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan.
PELAJAR Sekolah Menengah Holy Trinity, Tawau menyertai Program Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan.
Amniera Naziera Amran


Kota Kinabalu: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah akan menjalankan operasi memerangi dadah habis-habisan di Sandakan dan Tawau, dua lokasi yang menjadi sarang penagih dadah di negeri ini sehingga akhir tahun ini.

Operasi terbabit adalah usaha AADK dengan bantuan agensi berkaitan bagi membanteras masalah penyalahgunaan dadah di negeri ini yang menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.

Timbalan Pengarah AADK Negeri Sabah Abdul Hamediee Ibrahim berkata, pihaknya kini giat melaksanakan Kempen Perangi Dadah Habis-Habisan (PDH) 2.0.

“Sebelum ini, operasi menumpukan Kota Kinabalu iaitu di Karamunsing, namun bermula bulan ini, kami akan tumpukan Sandakan (kawasan bandar) serta Tawau (Merotai),” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, statistik penangkapan sepanjang tahun ini sehingga September lalu menunjukkan seramai 2,509 orang didapati terbabit dengan penyalahgunaan dadah ditahan menerusi 240 operasi di negeri ini.

“Daripada jumlah itu, 2,479 kes membabitkan dadah jenis syabu, ganja (27 kes) dan heroin (tiga kes).

“Penagih dadah di negeri ini sememangnya sukar untuk ditangkap kerana dadah paling kerap diambil ialah jenis syabu berbanding ganja dan heroin.

“Ini kerana berbanding mereka yang menggunakan dadah lain, penagih syabu tidak mengambil dadah berkenaan secara berkelompok atau dalam kumpulan yang besar,” katanya.

Dalam pada itu, Hamediee berkata, daripada 2,509 orang yang berada di bawah pengawasan pihak AADK, seramai 2,115 daripadanya sudah ditangkap semula menerusi 240 operasi bermula awal tahun sehingga September lalu.

“Daripada 2,115 itu, sejumlah 936 individu didapati positif dadah jenis syabu.

“Sebanyak 92 peratus kes adalah lelaki manakala lapan peratus perempuan,” katanya.

Menurutnya, penagih di negeri ini didapati ramai membabitkan golongan belia berusia antara 26 hingga 39 tahun.

Selain itu, statistik sama menunjukkan 27 penjawat awam terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

“Sehubungan itu, AADK negeri ini giat menjalankan pelbagai operasi termasuk Ops Perdana, Ops Cegah serta Ops Sarang atau Pos Bersepadu dengan kerjasama pelbagai agensi.

“Dalam setiap operasi, kita menahan antara 50 hingga 100 orang bagi setiap operasi,” katanya.

Sementara itu, Hamediee berkata, pihaknya mempunyai kekangan tertentu walaupun giat menjalankan pelbagai program pencegahan dalam membanteras penyalahgunaan dadah di negeri ini.

“Di Sabah, tangkapan sukar dilakukan kerana anggota perlu melakukan serbuan dari rumah ke rumah dan ia menyukarkan anggota serta memakan masa yang lama,” katanya.

Selain itu katanya, masyarakat perlu memperbetulkan tanggapan bahawa tugas dan peranan AADK adalah menangkap penagih dan menempatkan mereka di penjara.

“Perspektif itu salah kerana peranan kami adalah memulihkan penagih, menjalankan program pencegahan dan memberi rawatan mengikut perintah mahkamah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menggerakkan pelbagai program bagi membanteras masalah penyalahgunaan dadah termasuk Program Keluarga Bebas Dadah, Komuniti Bebas Dadah dan Program Pendidikan Bebas Dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 4:59 AM