Tinjauan harga makanan  di Subang Jaya selepas penurunan harga minyak.
Tinjauan harga makanan di Subang Jaya selepas penurunan harga minyak.

Kuala Lumpur: “Bergantung kepada harga bahan mentah daripada pembekal.” Itu komen rata-rata peniaga dan pengusaha restoran selepas ditanya sama ada harga makanan akan turun selepas penurunan harga minyak sebanyak 20 sen minggu lalu.

Pengusaha restoran makanan panas di USJ 10, Subang Jaya yang ingin dikenali sebagai Hassan mengakui, harga makanan di restorannya naik sedikit selepas pengumuman kenaikan harga minyak tahun lalu.

“Harga makanan yang ditetapkan selepas kenaikan harga minyak sebelum ini berdasarkan kos bahan mentah yang turut meningkat selain kos pengangkutan.

“Lagipun, harga makanan yang dinaikkan tidak terlalu ketara dan hanya membabitkan kenaikan bermula dari 10 hingga 50 sen.

“Jika harga bahan mentah diturunkan , saya pasti ramai peniaga tidak teragak-agak untuk menurunkan harga makanan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Pada 31 Januari lalu, harga runcit petrol RON95 turun 10 sen, manakala RON97 dan diesel masing-masing turun 20 sen dan 25 sen seliter bagi Februari 2016.

Harga baru RON95 ialah RM1.75 seliter, RON97 pula RM2.05 seliter selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan diesel RM1.35 seliter

Pandangan sama diluahkan pemilik gerai makan tengah hari Nur Haslinda Maarof yang menyifatkan sukar bagi peniaga untuk mengurangkan harga makanan pada kadar segera memandangkan pihak pembekal masih belum menurunkan harga barangan mentah.

“Ramai pelanggan yang merungut harga makanan masih mahal selepas harga minyak turun, tapi peniaga masih tersepit disebabkan peningkatan kadar tol seluruh Lembah Klang.

“Faktor lain seperti sewa kedai juga menambah beban peniaga kerana kadar sewa tidak diturunkan selaras dengan penurunan harga minyak,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) Noorul Hassan Saul Hameen berkata, kebanyakan peniaga sentiasa bersedia untuk menurunkan harga makanan namun, harga daripada pembekal masih kekal tinggi.

“Pengguna perlu memahami dilema dan beban yang ditanggung peniaga yang perlu berurusan dengan pembekal yang tidak menurunkan harga barangan biarpun harga minyak sudah turun sebanyak tiga kali sejak tahun lalu.

“Kita juga menerima alasan daripada pembekal bahawa mata wang ringgit jatuh mengakibatkan mereka gagal menurunkan harga. Jadi, peniaga tersepit dan tiada pilihan lain kecuali mengekalkan harga makanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 6:46 AM