SEJARAH harga barang naik tercetus di dalam abad ke-21 apabila harga minyak mentah global mendaki tinggi khasnya pasca Tragedi September 11 lalu. FOTO BERNAMA
SEJARAH harga barang naik tercetus di dalam abad ke-21 apabila harga minyak mentah global mendaki tinggi khasnya pasca Tragedi September 11 lalu. FOTO BERNAMA
Datuk Dr Sr Kamarul Rashdan Salleh

UMUM berasa ceria apabila mengetahui harga minyak dipam jatuh lagi antara 5 sen dan 12 sen seliter dalam mingguan 11 April 2020 hingga 17 April 2020 berbeza minggu lalu.

Ini adalah minggu kelima berturut-turut harga minyak negara mengalami kejatuhan drastik sejak kenaikan yang terakhir diuar-uarkan pada 6 Mac yang mana kadar harga petrol RON95 adalah RM2.08 seliter dan kadar harga diesel adalah RM2.13 seliter.

Pada hari ini kadar harga petrol RON95 ialah RM1.25 seliter dan kadar harga diesel ialah RM1.46 seliter.

Susulan lima kali harga minyak jatuh maka kadar harga kedua-dua petrol dan diesel juga menyusut sebanyak 80 sen atau 40 peratus berbanding kadar harga tertinggi pada Mac lalu.

Kini, harga minyak mentah global jika berpandukan kepada Brent Crude Oil Price menjunam kepada AS$30 per barrel atau setong.

Ramai pakar ekonomi meramalkan harga minyak mentah global akan terus menjunam ke satu paras yang terlampau rendah yang bukan sekadar diakibatkan global lockdown dan kuarantin yang melesukan aktiviti perekonomian tapi dijumudkan lagi oleh persepsi mengenai kemelesetan ekonomi yang lebih teruk sifatnya berbanding 2008 The Great Depression.

Justeru, kerajaan tiada pilihan kecuali mengemaskini setiap minggu kadar harga petrol dan diesel dipam selari dengan kejatuhan harga minyak mentah global.

Bagaimanapun, selepas lima minggu kejatuhan kadar harga petrol RON95, RON97 dan diesel, kita masih tercari cari di manakah impaknya terhadap harga barang yang masih tidak turun, tetapi naik lagi adalah.

Sejarah harga barang naik tercetus di dalam abad ke-21 apabila harga minyak mentah global mendaki tinggi khasnya pasca Tragedi September 11 lalu dengan meletusnya ledakan harga barang yang meluap-luap sifatnya.

Tak sampai sehari dua harga minyak naik, usahawan ghairah menaikkan harga barang mereka dan bersenandung betapa kenaikan harga berpunca kos pengeluaran naik, kos pengangkutan naik dan kos buruh naik yang dinatijahkan oleh kenaikan harga minyak.

Maka usah disalahkan rakyat jika terlahirnya konklusi yang tersemat di minda mereka bahawa faktor turun naik harga minyak ini berkadar terus sebagai penentu besar kepada faktor turun naik harga barang.

Justeru, apa lagi punca mutlak lain yang membantutkan kalangan usahawan untuk menjatuhkan dan memurahkan harga barang mereka?

Mengapa hari ini selepas lima minggu harga minyak jatuh hingga 80 sen atau 40 peratus tetapi harga barang tidak pula jatuh malah makin naik pula?

Maka sudah terang lagi bersuluh ramai usahawan kita tidak tergamak untuk berkorban sedikit keuntungan untuk rakyat dan negara.

Tidak cukup dengan harga minyak jatuh, kerajaan menggagaskan pula inisiatif demi kesenangan usahawan mengharungi kemelesetan ekonomi seperti kemudahan pembiayaan, caj utiliti dikurangkan, cukai dan KWSP ditangguhkan, subsidi upah pekerja, penstrukturan semula pinjaman dan sebagainya yang pastinya menjana lebihan pendapatan yang mencipta angka positif di dalam aliran tunai perniagaan mereka.

Usahawan sewajarnya menginsafi serta mensyukuri dengan fenomena yang terjadi hari ini, sudahlah harga minyak jatuh teruk, kerajaan sanggup hulur bantuan dan permintaan masih tinggi, justeru apa lagi alasan konkrit membuktikan harga barang naik?

Ya saya mempunyai keyakinan usahawan pun sudah boleh meneka dan selesa dengan margin keuntungan mereka bagi tempoh tiga ke enam bulan mendatang.

Seperti biasa, sikap usahawan yang suka menyalahkan dan memburukkan rakan usahawan lain seperti pengilang, pembekal dan pengangkut membawa tafsiran suka lepas tangan dan tidak mahu bertanggungjawab.

Pada hemat saya, berpandukan apa berlaku hari ini apabila harga barang naik maka eloklah kerajaan menguatkuasakan mekanisme penentuan harga barang di kilang atau diimport dari luar negara, harga barang ditawar pembekal dan harga barang termasuk pengangkutan.

Ini menjadi penanda aras pemantauan harga barang secara apungan harga setiap minggu.

Ia lebih realistik sebab harga barang dicerminkan mengikut harga minyak dengan tepat.

Daripada mekanisme ini, setiap usahawan akan diwajibkan mematuhi penanda aras ini dan kawalan harga dapat dilaksanakan lebih efektif terhadap seluruh spektrum jualan barang merangkumi pengilang, pembekal, pengangkut dan peniaga.

Kerajaan dituntut untuk merangka pendekatan baharu mewujudkan skim kestabilan penawaran harga barang yang bersifat keperluan asas.

Ia tak semestinya makanan saja malahan barang lain seperti ubat-ubatan, penjagaan diri, penjagaan rumah dan sebagainya.

Penulis Pakar Ekonomi Pembangunan dan Freeman, City of London

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 8:30 AM