MOHAMAD Sani Mohammad Nor melakukan pemeriksan bekalan petrol. FOTO Ihsan KPDNHEP
MOHAMAD Sani Mohammad Nor melakukan pemeriksan bekalan petrol. FOTO Ihsan KPDNHEP
Nurul Hidayah Bahaudin


SUSULAN pengumuman penurunan harga runcit petrol, 16 stesen minyak sekitar Kajang, Cheras dan Ampang diperiksa malam tadi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kajang Mohamad Sani Mohammad Nor berkata, pihaknya mengambil inisiatif itu bagi memastikan bekalan bahan kawalan berkenaan mencukupi.

“Pemeriksaan di 16 stesen minyak itu dilakukan 10 pegawai penguat kuasa Cawangan Kajang bermula 8 malam hingga jam 2.30 pagi.

“Hasil operasi dilakukan mendapati tiada stesen minyak yang diperiksa mengalami kekurangan bekalan bagi ketiga-tiga jenis petrol iaitu Ron 97, Ron 95 dan diesel,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mana-mana pengusaha stesen minyak yang gagal mematuhi arahan menurunkan harga bahan kawalan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Pengusaha stesen minyak juga dikehendaki memastikan bekalan bagi ketiga-tiga jenis petrol berkenaan sentiasa mencukupi bagi mengelakkan tindakan tegas dikenakan terhadap mereka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan harga runcit petrol RON95 turun 19 sen seliter, manakala RON97 turun 21 sen seliter berkuat kuasa tengah malam tadi sehingga 13 Mac.

MOF dalam kenyataan, semalam, memaklumkan harga RON95 dan RON97 bagi tempoh itu masing-masing adalah RM1.89 seliter dan RM2.19 seliter.

Kementerian itu turut memaklumkan harga runcit diesel turun sebanyak 17 sen seliter kepada RM1.96 seliter.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 1:40 PM