Kota Kinabalu : “Saya memilih produk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)-i Plus sebagai perancangan masa depan pendidikan anak-anak,” kata Zulkanadi Garib, 36, di sini, semalam.

Beliau yang bertugas sebagai guru itu memilih Pakej Zamrud ditawarkan dalam SSPN-i Plus sebagai perancangan pendidikan anaknya terutama sebagai persediaan mereka melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) pada masa depan.

“Sebagai permulaan saya menamakan anak sulung Mohd Asyraff Hakim yang baru berusia enam tahun untuk produk ini dengan pilihan Pakej Zamrud iaitu simpanan RM200 sebulan melalui potongan gaji.

“Saya baru mendeposit pada bulan lalu dan jika ada lebihan kewangan akan mendaftarkan dua lagi anak,” katanya yang hadir pada Majlis Mesra PTPTN Bersama Pelanggan 2015 peringkat negeri di sini, semalam.

Perkara sama diakui jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah Mohd Fauzi Zikiri, 29, yang memilih Pakej Delima.

Menurutnya, Pakej Delima turut menawarkan skim perlindungan takaful.

“Banyak keistimewaan yang saya peroleh melalui produk ini terutama pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000.

“Setiap bulan saya melabur RM50 melalui potongan gaji dan ia tidak membebankan selain membantu saya merancang kewangan dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN Agos Cholan berkata, pihaknya mensasarkan sebanyak RM2 bilion bagi produk terbaru mereka iaitu SSPN-i Plus dalam tempoh lima tahun akan datang sehingga 2020 di seluruh negara.

“Bagi produk terdahulu iaitu SSPN-i, kita berjaya mencatat pendeposit 107,383 orang dengan jumlah sebanyak RM46.7 juta di Sabah saja manakala bagi peminjam PTPTN di Sabah pula, 159,518 orang dengan jumlah RM3.85 bilion,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2015 @ 5:07 AM