HADIRIN pada Majlis Mesra PTPTN Bersama Pelanggan 2015, semalam.
HADIRIN pada Majlis Mesra PTPTN Bersama Pelanggan 2015, semalam.
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid

Kota Kinabalu: Pelancaran produk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)-i Plus oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diyakini mampu mengatasi masalah keciciran dalam kalangan pelajar yang mahu melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, produk terbaru itu turut memberi peluang kepada orang ramai membuat tabungan yang dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

“Amalan menabung perlu diterapkan dalam minda masyarakat yang masih kurang melaksanakan perancangan kewangan dengan baik.

“Oleh itu, melalui SSPN-i Plus, ia akan memberikan pelbagai keistimewaan kepada penyimpan tanpa membebankan kerana ia menawarkan pelan simpanan dengan pelbagai pilihan pakej,” katanya ketika merasmikan Majlis Mesra PTPTN Bersama Pelanggan 2015 peringkat negeri di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Eksekutif PTPTN Agos Cholan dan Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN Mastura Mohd Khalid.

Terdahulu, teks ucapan Madius dibacakan Setiausaha Politiknya Joisin Romut.

Madius berkata, kewujudan SSPN-i Plus menepati sebahagian besar kehendak rakyat di negara ini khususnya dalam kalangan masyarakat Islam.

“Produk ini berbentuk skim simpanan disertai takaful yang sentiasa berpandukan sistem kewangan berlandaskan syariah. Pendeposit bukan saja melabur untuk tujuan pendidikan, malah turut mendapat perlindungan takaful, dividen yang begitu kompetitif serta pelepasan taksiran cukai sehingga RM12,000 setahun.

“Justeru, saya menyeru semua rakyat di negara ini untuk merebut peluang disediakan dengan menyertai SSPN-i Plus,”katanya.

Beliau berkata, PTPTN ditubuhkan berasaskan iltizam kerajaan bagi membolehkan lebih ramai rakyat di negara ini mempunyai akses kepada pengajian tinggi.

“Melalui penubuhan PTPTN, akses kepada pendidikan tinggi semakin meningkat apabila lebih 200,000 pelajar setiap tahun berpeluang menjejakkan kaki ke Universiti Awam (UA) mahupun IPT swasta melalui cara pembiayaan PTPTN,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2015 @ 5:07 AM