PEGAWAI kastam menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas.
PEGAWAI kastam menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas.
Oleh Mohamad Hanafis Abdul Haris

Batu Pahat: Seorang peniaga kedai runcit bakal didenda 20 kali ganda selepas ditahan buat kali kedua kerana menjual rokok seludup pelbagai jenama dalam serbuan dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Muar di sebuah kedai runcit di Parit Raja, di sini, petang kelmarin.

Peniaga berusia 49 tahun itu ditahan bersama kira-kira 40 peket rokok seludup ketika sedang berada di dalam kedai runcitnya. Sebelum ini, peniaga sama sudah dikenakan denda kerana melakukan kesalahan sama tahun lalu.

Beliau ditahan dalam Op Outlet yang dijalankan di tiga lokasi berasingan di sekitar Jalan Kluang-Batu Pahat dan Parit Raja.

Dalam operasi itu, JKDM turut menahan dua lagi peniaga berusia 30-an dan 40-an serta merampas sebanyak 88 peket rokok seludup pelbagai jenis membabitkan anggaran cukai bernilai kira-kira RM800.

Rokok seludup yang dirampas terdiri daripada pelbagai jenama termasuk Surya Gudang Garam, John dan Canyon.

Semua peniaga terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 135 (1)(d) dan Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

Difahamkan, semua mereka akan direman sekurang-kurangnya tiga hari untuk siasatan lanjut dan operasi membanteras penjualan rokok seludup akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Sejak Op Outlet dilancarkan, seramai 6,295 orang ditahan dan daripada jumlah itu, seramai 2,202 orang didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman termasuk denda serta penjara.

Dalam tempoh lima tahun dari 2010 hingga 31 Mac lalu, sebanyak 40,498 outlet diperiksa dan dalam tempoh itu sebanyak 1.089 bilion batang rokok bernilai RM86.74 juta dengan nilai kutipan cukai RM545.75 juta dirampas.

Selain itu, kastam mendapati peningkatan perokok daripada 3.1 juta pada 2007 kepada 4.7 juta pada tahun lalu juga antaranya disebabkan lambakan rokok seludup pelbagai jenama.

Berikutan itu, kastam akan mempergiatkan lagi Op Outlet pada tahun ini, malah tumpuan bukan saja kepada penyeludupan rokok, tetapi diperluaskan kepada penyeludupan arak.

Pihak berkuasa berkenaan menyasarkan 2,000 tangkapan untuk kes penyeludupan rokok dan arak sepanjang tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 11:14 AM