Mohd Asri  (kiri) didenda RM1,500  manakala Muhammad Aisham  didenda RM600 oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu.
Mohd Asri (kiri) didenda RM1,500 manakala Muhammad Aisham didenda RM600 oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu.
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kuala Lumpur: Tindakan tegas bagi melumpuhkan rantaian kegiatan penyeludupan rokok di negara ini terus diperhebatkan termasuk serbuan, tangkapan dan pendakwaan di mahkamah membabitkan pelaku kegiatan haram itu.

Operasi berterusan Ops Outlet 2.0 Rokok dan Arak Seludup oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang diperhebatkan di seluruh negara selain pendakwaan di mahkamah ternyata memberi kesan apabila ramai peruncit semakin takut untuk menjual rokok seludup.

Terbaru di Kelantan, tiga peniaga kedai runcit termasuk seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu, semalam, atas tuduhan memiliki rokok seludup, dua tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh, Mohd Asri Zani, 48, didakwa memiliki 61 peket rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM76.72 di Kampung Dendang, Ketereh, di sini, jam 11.45 pagi, pada 9 Jun 2013.

Tertuduh wanita, Hasmah Hussain, 47, didakwa memiliki 44 peket rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM83.12 di kedai runcit Kerian Jaya Jalan Wakaf Stan, Kubang Kerian, di sini, jam 8.55 malam, pada 1 Oktober 2013.

Seorang lagi tertuduh, Muhammad Aisham Awang, 29, didakwa memiliki 28 peket rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM32.08 di kedai runcit di Batu 2 Taman Bukit Idaman, Bukit Cina, jam 11.45 pagi, 9 Jun 2013.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135 (1)(iii)(aa) akta sama.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia Karthy Gasedev memohon hukuman setimpal dikenakan kepada semua tertuduh kerana membabitkan hasil negara.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 kepada Mohd Asri dan Hasmah manakala, Muhammad Aisham didenda RM600.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Pasir Mas, kelmarin menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 kepada seorang anggota tentera atas tuduhan memiliki 14 karton dan lapan peket rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM282.88 di sebuah kedai runcit di Cabang 4 Tendong, Pasir Mas, jam 12.15 tengah hari, 8 April 2012.

Tertuduh, Mohd Fauzi Hussin, 43, mengaku bersalah di atas tuduhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 5:22 AM