Enam lelaki termasuk dua warga asing yang menjual rokok dan arak seludup mengaku salah terhadap pertuduhan memiliki barangan larangan, 4 Ogos lalu.
Enam lelaki termasuk dua warga asing yang menjual rokok dan arak seludup mengaku salah terhadap pertuduhan memiliki barangan larangan, 4 Ogos lalu.
Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Enam lelaki termasuk dua warga asing didenda RM23,098 di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, semalam, selepas mengaku salah terhadap tuduhan memiliki barangan larangan arak dan rokok seludup pada 4 Ogos lalu.

Tertuduh, Choy Kee Kiang, 45, V Biju, 34, T Rajandran, 36, S Devan, 36, Rahmad Efendi, 24, dan Tang Kheng Chai, 37, didakwa melakukan kesalahan itu di premis perniagaan berasingan di sekitar bandar raya ini.

Semua mereka disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 135, Akta Kastam 1967 dan boleh dikenakan hukuman denda minimum iaitu 10 kali ganda daripada nilai rampasan dan sekiranya gagal membayar denda, boleh dikenakan hukuman penjara.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Wan Arissa Wan Rosli dan Norhaliza Ab Ghani.

Di hadapan Majistret Azlan Shah Allias, Rajandran yang juga pemilik kedai runcit di Taman Nesa, Skudai didenda RM7,136 selepas mengaku bersalah memiliki sembilan botol dan 245 tin arak seludup bernilai RM713.

Warga India, Biju didenda RM616 selepas mengaku bersalah memiliki 36 peket rokok seludup bernilai RM61 di kedai runcit di Taman Skudai Baru.

Choy yang memiliki kedai di Taman Ungku Tun Aminah pula didenda RM1,166 selepas ditahan kerana memiliki 62 peket rokok seludup pelbagai jenama dan seorang lagi peniaga, Dewan didenda RM480 kerana memiliki 36 peket rokok seludup.

Di hadapan Majistret Salina Omar pula, Rahmad yang juga warga Indonesia didenda RM9,600 selepas mengaku bersalah memiliki 108 peket rokok seludup.

Seorang lagi tertuduh, Tan Kheng Chai didenda RM4,100 selepas mengaku bersalah memiliki 17 botol arak dan 47 peket rokok seludup.

Semua mereka ditahan dalam satu operasi khas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri dalam usaha membanteras kegiatan penjualan rokok dan arak seludup di negeri ini.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan 2,000 tangkapan ke atas pesalah kes rokok dan arak seludup menerusi Operasi Outlet Versi 2.0 (Rokok dan Arak) di seluruh negara, bermula tahun ini.

Usaha membanteras kegiatan ini dijalankan sejak beberapa tahun lalu dan akan dipergiatkan lagi pada tahun ini.

Justeru, orang ramai perlu menjadi ‘mata dan telinga’ JKDM untuk melaporkan kegiatan berkenaan walaupun hanya membabitkan sebungkus rokok seludup.

Maklumat boleh disalurkan menerusi talian 1-800-88-8855 atau melaporkan kepada mana-mana pejabat JKDM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 4:54 AM