Oleh Isma Ismail dan Khairul Najib Asarulah Khan

Kuantan: Seorang peniaga kedai runcit terpaksa meringkuk di dalam penjara selama 15 hari dan denda RM1,452.80 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan di sini, Rabu lalu atas dakwaan memiliki 174 peket rokok seludup dan kretek pelbagai jenama.

Tang Soo Sen, dari Bukit Setongkol, di sini melakukan perbuatan itu di kedai mini miliknya iaitu T&C Maju.

Beliau juga adalah antara 720 peniaga yang ditahan dan sudah didakwa kerana memiliki rokok seludup dalam Ops Pacak dan Ops Outlet yang dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam usaha mengurangkan penyeludupan dan penjualan rokok seludup di negara ini.

Kedua-dua operasi ini dijalankan dari semasa ke semasa. Terbaru operasi dijalankan di Johor, Terengganu, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Pahang, Selasa lalu dan kelmarin.

Hasilnya, enam peniaga ditahan kerana memiliki dan menjual bahan larangan berkenaan.

Dalam serbuan kira-kira jam 11.30 pagi di Jalan Silat Gayong 17, Bandar Selesa Jaya, Skudai di Johor, kelmarin, seorang lelaki warganegara India berusia 32 tahun ditahan kerana terbabit menjual rokok seludup.

Rokok berkenaan dijumpai tersorok dalam laci di bawah kaunter juruwang di premis itu dianggarkan bernilai RM150.

Di Negeri Sembilan, seorang lelaki yang juga pemilik kedai runcit di Taman Seremban Jaya, Senawang ditahan selepas pemeriksaan JKDM di premisnya menemui 99 kotak rokok seludup.

Sebelum penemuan pelbagai jenama rokok seludup seperti Gudang Garam, Canyon dan U2 di laci kaunter premis itu, lelaki berusia 50-an berkenaan selamba mengaku memiliki dan menjual rokok seludup ketika premisnya diserbu JKDM.

Sementara itu di Pulau Pinang, dua peniaga ditahan dalam serbuan berasingan di sebuah premis di Jalan Permatang Damar Laut dan Jalan Sungai Batu, Bayan Lepas, kelmarin.

Peniaga terbabit sengaja menyorokkan rokok seludup berkenaan dan hanya dijual kepada pelanggan tertentu.

Semua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang kes dan tidak lebih 20 kali ganda barang kes atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Dalam pendekatan lebih berkesan untuk mengekang kegiatan penjualan rokok seludup ini, JKDM menggunakan pendekatan untuk meminta mahkamah mengenakan hukuman penjara dan denda maksimum agar tiada mana-mana individu yang berani untuk menjual rokok seludup ini.

Ketegasan dalam penguatkuasaan adalah kaedah terbaik dalam mengekang masalah ini daripada terus berleluasa selain kegiatan berkenaan merugikan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 10:28 AM