MUHAMMAD Syazwan (kiri) memegang merpati spesies Showking dan rakannya, Zailani Ismail, 42, memegang Us Modena.
MUHAMMAD Syazwan (kiri) memegang merpati spesies Showking dan rakannya, Zailani Ismail, 42, memegang Us Modena.
MUHAMMAD Syazwan menunjukkan piala yang diperoleh hasil pertandingan merpati.
MUHAMMAD Syazwan menunjukkan piala yang diperoleh hasil pertandingan merpati.
Hidayatidayu Razali


BERMULA dengan hanya suka-suka memelihara beberapa burung merpati, kini bekas cef hotel teruja kerana hobinya itu memberi pendapatan tambahan kepada keluarga.

Minat Muhammad Syazwan Ab Kadir, 34, dari Kampung Pengkalan Haji Ali, Bachok, Kelantan bermula apabila sekadar mengisi masa lapang ketika pulang bercuti kerana menghantar isterinya yang berpindah kerja dari Johor Bahru ke Kelantan.,

Katanya, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia tidak dapat kembali bekerja (di sebuah hotel di Johor Bahru) dan terpaksa tinggal di kampung.

"Dek kerana bosan untuk memenuhi masa lapang, saya mula memelihara dua burung merpati yang dibeli daripada rakan dan tidak sangka ia membiak.

MERPATI dibeli dalam dalam, luar negara pada harga serendah RM80 sehingga RM3,500.
MERPATI dibeli dalam dalam, luar negara pada harga serendah RM80 sehingga RM3,500.

"Daripada kosong, saya banyak mempelajari cara penjagaan burung itu melalui pembacaan di laman sosial selain berkongsi maklumat dengan rakan yang lebih arif.

"Merpati antara haiwan yang mudah dijaga dan kos penjagaannya juga tidak semahal mana," katanya.

Menurut Muhammad Syazwan, ada pelbagai spesies burung merpati, namun antara yang dipeliharanya ketika ini adalah spesies Showking, English Modena, Us Modena, Rasing Homer dan banyak lagi.

Jelasnya, meskipun merpati adalah haiwan yang jinak dan mudah dijaga, namun ia perlu dijaga dengan rapi untuk mengelakkan penyakit yang boleh menyebabkan kematian.

MUHAMAD Syazwan mencuci reban merpati seminggu sekali.
MUHAMAD Syazwan mencuci reban merpati seminggu sekali.

"Seperti unggas lain, merpati juga seperti ayam yang akan mati jika terkena penyakit pada hujung tahun kerana keadaan cuaca tidak menentu terutama jika hujan berpanjangan.

"Jadi, untuk mengelakkan haiwan peliharaan mati, saya terpaksa mengurangkan bilangan merpati dalam sangkar dengan cara menjualnya kepada peminat haiwan berkenaan.

"Dengan cara itu, saya dapat mengurangkan haiwan dalam sangkar dan dapat memberi fokus untuk penjagaan kepada merpati lain," katanya.

Menurut Muhammad Syazwan, dia turut membina sebuah reban besar untuk keselesaan merpati peliharaannya.

Katanya, sangkar khas juga diletakkan dalam reban itu bagi mengasingkan pasangan untuk membiakkan baka.

"Untuk aspek penjagaan kebersihan pula, reban dan sangkar itu dicuci sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi memastikan ia tidak terlalu kotor.

"Merpati yang dibela juga dimandikan sekali seminggu untuk memastikan ia berada dalam keadaan bersih," katanya.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, dia bersyukur hobi baharunya itu tidak mendapat halangan daripada isteri dan bercadang meneruskan usaha membiak baka.

Katanya, baka merpati itu dibeli sama ada dari dalam negara atau yang diimport termasuk dari Vietnam dengan harga serendah RM80 sepasang sehingga mencecah ribuan ringgit.

"Spesies burung merpati yang paling mahal saya miliki adalah spesies Showking yang berharga RM2,500 sepasang dan Us Modena RM3,500 seekor.

"Setiap baka memiliki perbezaannya sama ada dari segi warna mahupun bentuk fizikal sama ada kecil atau besar.

"Namun, di mata saya mahal atau murah bukan bezanya kerana haiwan itu jinak, manja dan memiliki keistimewaan sendiri," katanya yang turut membawa haiwan peliharaannya itu bertanding di peringkat tempatan.

Sebelum mengakhiri perbualan, Muhammad Syazwan berpesan kepada orang ramai yang berminat memelihara merpati supaya mencari ilmu penjagaan terlebih dahulu.

Katanya, ia penting bagi mengelakkan haiwan terbabit menderita dan dijangkiti penyakit merbahaya.

"Ia membabitkan nyawa, jadi dapatkan ilmu dan maklumat berkaitan penjagaan yang betul terlebih dahulu sebelum mahu berjinak-jinak dalam dunia pemeliharaan haiwan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 7:01 AM