MELEPASKAN 300 merpati simbolik kepada pelancaran pertandingan merpati hias.
MELEPASKAN 300 merpati simbolik kepada pelancaran pertandingan merpati hias.
Nurul Husna Mahmud


Bagi mereka yang tidak pernah melihat atau mengenal secara dekat merpati hias, pastinya ada yang beranggapan spesies unggas ini adalah ayam.

Sedangkan merpati hias pada awalnya tergolong dalam spesies merpati yang diternak untuk dinikmati 'dagingnya' selain lebih dikenali sebagai poule maltias atau maltese.

Tidak hairanlah jika ada yang pertama kali melihatnya pasti menyangkakan ia adalah spesies ayam serama dan sering dijadikan spesies peliharaan mahupun untuk tujuan pertandingan.

Dalam meningkatkan kesedaran mengenai kewujudan spesies merpati unik ini, Sahabat Merpati Malaysia dan Thailand menganjurkan pertandingan 'Show King and Modena Pigeon Competitions and Exhibitions' di Tendong, Pasir Mas, Kelantan baru-baru ini. Ia membabitkan lebih 100 ekor bagi tiga kategori dipertandingkan.

Wakil penganjur dan juga Timbalan Presiden Persatuan Merpati Selangor, Muhammad Aidil Adha Che Johari berkata, pertandingan merpati hias itu julung kali dianjurkan membabitkan Sahabat Merpati Malaysia dan Thailand yang juga gabungan tiga persatuan serta kelab merpati hias itu.

"Pembiak baka dan pemilik burung merpati hias sememangnya menantikan pertandingan sebegini kerana penting dalam melihat sejauh mana prestasi atau 'kehebatan' burung masing-masing.

"Maklumlah seperti mana pertandingan haiwan lain seperti kucing contohnya, baka yang baik dan kriteria tertentu dapat memberi definisi cantik kepada haiwan kesayangan sekali gus memberikan kepuasan kepada pemilik.

"Bagi pembiak baka merpati hias, ia amat penting kerana itu akan memberi nilai terutama kepada generasi yang memenangi pertandingan sehingga boleh mencapai nilai lima angka.

AKSI ‘mendabik dada’ yang menarik daripada merpati hias dalam pertandingan.
AKSI ‘mendabik dada’ yang menarik daripada merpati hias dalam pertandingan.

"Bukan hanya datang dari serata Malaysia, malah ada juga rakan dari Thailand turut menyertai pertandingan yang diadakan di Tendong untuk mencuba nasib dan melihat sejauh mana prestasi merpati kesayangan mereka," katanya.

Pertandingan yang membabitkan tiga kategori iaitu English Modena, US Modena dan Showking itu turut melihat potongan badan sebagai ciri-ciri utama selain melayakkan merpati hias merebut kedudukan terbaik.

"Aspek yang paling penting bagi menarik perhatian juri ialah potongan badan merpati hias itu sendiri sama ada bentuknya bulat atau sebaliknya. Lagi bulat burung itu lagi cantik pada mata mereka.

"Selain itu, ciri-ciri cantik yang juga dinilai ialah warna dan memiliki bulu yang berkilat juga menjadikan burung merpati hias ini tampak lebih 'gebu.'

"Bagi pertandingan kali ini tiga tempat terbaik sebenarnya sudah menepati ciri-ciri burung merpati hias cantik. Jadi, juri membuat saringan peringkat akhir dengan menilai aspek kebersihan burung pula iaitu bahagian badan selagi dilitupi bulu diteliti sehingga hujung bulu kaki.

"Selain itu juga kita nilai persembahan sama ada burung ini dapat memberi reaksi baik ketika sesi penilaian atau sebaliknya," katanya.

Bagi pemenang kategori Showking, Mohd Daros Daud, 55, dia menyifatkan burung merpati hias Showking dimilikinya antara baka terbaik pernah dimiliki kerana pernah memenangi pertandingan lain sebelum ini.

MUHAMMAD Aidil Adha (kiri) bersama seorang juri meneliti burung yang menyertai pertandingan merpati hias di Tendong, baru-baru ini.
MUHAMMAD Aidil Adha (kiri) bersama seorang juri meneliti burung yang menyertai pertandingan merpati hias di Tendong, baru-baru ini.

"Saya menyertai semua kategori dan hanya Showking yang saya menang. Merpati hias berusia dua tahun itu memiliki warna 'black tiger' memang antara baka terbaik dalam koleksi merpati saya miliki.

"Baka merpati saya ada sekarang adalah generasi keempat dan generasi sebelum ini juga pernah memenangi kejohanan lain.

"Harapan itu ada tetapi tidak terlalu mengharap kerana pesaingan sengit dan ramai peserta 'otai.' Cuma rezeki selain saya pastikan keperluan terutama makanan yang terbaik dan juga 'mandikan' burung sebagai persiapan pertandingan," katanya.

Tambah Mohd Daros yang menetap di Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, Kelantan dia yang sudah memelihara burung merpati hias sejak empat tahun lalu itu sanggup berbelanja 'besar' mendapatkan baka terbaik.

"Kepuasan peminat merpati hias adalah baka yang baik. Saya pernah membeli baka merpati hias US Modena pada RM16 ribu sepasang.

"Saya rasa ia satu pelaburan yang berbaloi kerana anak-anaknya nanti menepati spesifikasi sedia untuk pertandingan atau mendapat permintaan dalam kalangan peminat.

"Malah untuk merpati hias Showking yang menang, saya sudah dapat panggilan mahu membeli anak-anaknya pada tawaran harga yang baik," katanya.

MOHD Daros bersama merpati yang memenangi pertandingan baru-baru ini.
MOHD Daros bersama merpati yang memenangi pertandingan baru-baru ini.

Sementara itu, pemenang kategori US Modena, Emir Ashraff Abdullah, 32, pula tidak menyangka penyertaan julung kalinya dalam pertandingan merpati hias itu berjaya mengungguli tempat pertama kategori itu.

"Sebenarnya burung merpati hias saya masih muda dan saya tidak jangka boleh menyaingi burung merpati hias milik peserta yang lebih otai.

"Rezeki saya 'mood' burung baik kerana ketika hari pertandingan burung merpati hias turut 'teruja' malah tidak takut 'mendabik dada' (seperti ayam serama).

"Dari segi persiapan pula, saya mandikan burung untuk pertandingan dengan syampu bayi supaya bulu kelihatan berkilat dan 'gebu'.

"Saya dapatkan tip dan petua dengan berguru dengan pemilik atau pembiak baka lebih berpengalaman," katanya.

Selain beliau, hobi membela burung merpati itu turut disertai isteri tercinta, Che Ruzilawati Mohamed Sidek, 32.

"Koleksi burung merpati yang saya pelihara sekarang kira-kira 60 ekor. Saya dibantu isteri yang turut mempunyai minat yang sama iaitu pelihara burung merpati untuk pastikan semua burung terjaga dengan baik.

OSMAN berpuas hati apabila baka dibeli berhasil memenangi pertandingan.
OSMAN berpuas hati apabila baka dibeli berhasil memenangi pertandingan.

"Selain bijirin seperti jagung dan kekacang, saya turut berikan dedak premium serta suplemen untuk pastikan burung sentiasa sihat," katanya.

Sementara itu pemenang kategori English Modena, Osman Ismail, turut menyifatkan baka yang baik antara ciri-ciri penting bagi peminat burung yang berhasrat untuk menyertai pertandingan.

"Ketika saya beli burung ini, memang pemilik atau pembiak baka ada maklum harga burung ini tinggi kerana spesifikasi untuk pertandingan.

"Tidak dinafikan baka ini adalah paling mahal saya pernah beli iaitu RM2,000 seekor. Cara penjagaan juga lebih 'manja' kerana perlu mandi dan diberi makanan kualiti premium agar ia boleh membesar.

"Hasilnya terbukti apabila burung baka ini berjaya mendapat tempat pertama dalam kategori English Modena," katanya.

Selain baka itu, Osman turut pelihara merpati kampung dan burung lain kerana minat terhadap spesies unggas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 6:40 AM