SEORANG budak lelaki menunjukkan burung merpati lumba miliknya.
SEORANG budak lelaki menunjukkan burung merpati lumba miliknya.
AFP

PERLUMBAAN burung merpati dianggap satu pertandingan yang kejam kerana haiwan itu perlu merentasi laluan sejauh 600 kilometer dan berdepan risiko panas melampau, lautan bergelora, ancaman pemburu serta penculik.

Hanya seekor daripada 10 merpati berjaya menamatkan pertandingan itu.

Inilah pertandingan MacArthur, perlumbaan merpati paling panjang di Filipina yang mencabar burung berkenaan dan memberi suasana cemas kepada pemiliknya.

“Berbanding dengan Eropah dan Amerika Syarikat, terdapat banyak pemburu di Filipina dan ramai orang menembak merpati ini,” kata Jaime Lim antara pemilik burung merpati lumba terkenal.

“Jaring ikan dipasang di kawasan gunung untuk menangkap burung ini. Itu adalah masalah besar yang kami hadapi hari ini,” jelasnya.

Menurut Lim, seekor merpati lumba bernilai ribuan dolar, namun burung yang ‘diculik’ dijual pada harga serendah AS$14 (RM58.40).

CAT diletakkan pada sayap merpati sebagai tanda pengenalan.
CAT diletakkan pada sayap merpati sebagai tanda pengenalan.

“Oleh itu, tarikh pertandingan dirahsiakan bagi mengelak penculik memasang jaring,” katanya.

Masalah itu terpaksa dihadapi penggemar perlumbaan merpati dan kini terdapat sekurang-kurangnya 300 kelab dengan ribuan ahli di Filipina.

Sukan tradisi itu turut mendapat sambutan hangat di negara lain di Asia terutama di India, Taiwan dan China.

Di Filipina, perlumbaan merpati turut dilihat sebagai salah satu cara memperoleh wang banyak.

Mary Grace San Jose, 38, yang berasal dari Tondo, daerah miskin di Manila berkata, pertandingan itu terbuka kepada semua orang.

Katanya, paling penting adalah kemampuan pemilik untuk memberi merpati makan secukupnya.

Bagi Edfie Noble, paling mengujakan mengenai perlumbaan itu adalah kebolehan merpati mencari jalan pulang.

Terdapat dua teori popular mengenai kepakaran merpati berkenaan, iaitu haiwan ini mengikuti laluan magnetik bumi dan bergantung dengan deria bau.

Satu hipotesis baharu menyatakan merpati menggunakan frekuensi bunyi ultra rendah untuk meninjau kawasan dan kebolehan itu diuji dalam pertandingan MacArthur.

Pengarah MacArthur, Nelson Chua berkata, hanya 10 peratus merpati yang memulakan pertandingan di Leyte berjaya kembali.

KOD dipasangkan pada kaki merpati untuk menentukan pemiliknya.
KOD dipasangkan pada kaki merpati untuk menentukan pemiliknya.

“Dianggarkan 50 hingga 70 peratus merpati terperangkap dalam jaringan, ditembak atau diserang burung lain,” katanya.

Merpati yang berjaya mengharungi cabaran dan perjalanan sehingga 10 jam itu akan kembali ke reban di Manila.

Pemilik merpati perlu mengambil kod yang dipasangkan pada kaki burung dan menghubungi penganjur untuk menentukan pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 9:30 AM