Nurul Husna Mahmud


Satu fakta menarik mengenai burung merpati, ketika perang dunia pertama dan kedua, spesies ini memainkan peranan penting sebagai utusan atau 'penyampai berita' dengan terbang ratusan kilometer merentasi ruang udara.

Spesies merpati lumba atau dikenali sebagai 'Racing Homer' adalah spesies terhasil menerusi pembiakan baka terpilih ke atas baka merpati lain seperti Smerler, Cumelet Perancis, English Carrier, Dragoon dan Horseman (kini pupus).

Dari Cumulet iaitu baka merpati yang terbang tinggi, menjadikan Homer menerima ciri-ciri ketahanan dan kemampuan untuk terbang selama berjam-jam tanpa ada rasa letih. Sementara itu, mempunyai naluri tinggi untuk mencari jalan pulang walaupun dari jarak jauh pula dikatakan mewarisi ciri-ciri genetik baka English Carrier.

Tidak lagi berfungsi sebagai penghantar mesej, peranan merpati lumba atau Racing Homer kini beralih kepada penyertaan temasya perlumbaan menguji ketahanan atau kehebatan unggas itu oleh beberapa negara di Eropah.

Disebabkan tidak mahu ketinggalan menyaksikan keunikan atau daya tahan merpati lumba terbabit penganjur serta pemilik Sepang 2022 One Aloft Race, Mohd Firdaus Abdul Rahman menganjurkan perlumbaan terbesar membabitkan spesies merpati pada bulan ini.

Menurut Firdaus, perlumbaan merpati lumba Sepang 2022 One Aloft Race adalah kali pertama dianjurkan membabitkan lebih 400 merpati daripada 200 lebih pemilik dari serata Malaysia dan termasuk penyertaan dari negara jiran, Thailand.

"Pertandingan ini adalah perlumbaan merpati lumba atau Racing Homer terbesar dan julung kali dianjurkan membabitkan 400 merpati. Paling jauh dilepaskan adalah pada jarak 430 kilometer iaitu dari Chuping, Perlis ke lokasi penamat iaitu di Sepang, Selangor.

SESI latihan yang mana burung ini dilepaskan dari lokasi tasik  berhampiran setiap hari sebelum terbang kembali ke aloft.
SESI latihan yang mana burung ini dilepaskan dari lokasi tasik berhampiran setiap hari sebelum terbang kembali ke aloft.

"Penganjuran atau perlumbaan Sepang 2022 One Aloft Race adalah mengikut format penjurian antarabangsa iaitu menggunakan sistem jejak, Benzene juga diguna pakai bagi kejohanan merpati lumba di Eropah.

"Secara tidak langsung ini memberi pengalaman kepada pemilik merpati sendiri untuk meninjau kemampuan merpati lumba peliharaan masing-masing dengan mengharungi lebih lima kali pelepasan membabitkan lima lokasi pertandingan termasuk sesi kelayakan pada Sabtu lalu di Slim River, Perak," katanya.

Kata Mohd Firdaus lagi, semua merpati lumba ini membabitkan dua kali pengambilan iaitu pada Ogos dan September tahun lalu bagi tujuan dilatih sebelum perlumbaan bermula.

MOHD Firdaus ketika cuba menangkap merpati lumba dalam aloft.
MOHD Firdaus ketika cuba menangkap merpati lumba dalam aloft.

"Semua burung merpati lumba ini adalah baka sama iaitu Racing Homer yang dipelihara dan melalui latihan selama tujuh atau enam bulan. Fasa pertama dikuarantin. Kemudian dalam tempoh dua minggu hingga satu bulan diajar untuk terbang dalam aloft atau rumah masing-masing.

"Tahap berikutnya iaitu pada usia lima bulan, ia diajar untuk terbang ke pintu. Untuk sesi latihan ajar terbang menerusi pintu ambil masa sebulan kerana hanya ada satu pintu sementara 'aloft' pula ada enam.

"Kena ajar satu rumah demi satu rumah dan kemudian baru ajar terbang bebas. Terbang bebas ini juga kami ajar berperingkat kerana peringkat awal pada jarak lebih dekat iaitu dalam kawasan persekitaran aloft kemudian beralih lebih jauh sehingga haiwan ini mampu terbang 20 minit tanpa henti.

"Dalam sesi latihan ini kami ada lepaskan dari Putrajaya dan memang haiwan ini berjaya pulang. Kami akan tingkatkan latihan terutama jarak lebih jauh sehingga menjelang hari perlumbaan," katanya.

LEBIH tegap dan memiliki ketahanan untuk terbang jauh serta lama keistimewaan baka Racing Homer.
LEBIH tegap dan memiliki ketahanan untuk terbang jauh serta lama keistimewaan baka Racing Homer.

Kelebihan baka atau spesies Racing Homer berbanding merpati kampung kata Mohd Firdaus, jika bukan penggemar unggas atau pemilik merpati tegar, sukar membezakan spesies kedua-dua merpati ini sekilas pandang.

"Kalau tengok sekilas pandang, nampak merpati baka ini sama sahaja dengan merpati kampung. Namun jika diteliti segenap aspek atau kriteria termasuk badan, sayap, mata dan aspek lain, memang berbeza.

"Burung merpati kampung ada bonjolan pada kepala dan ciri-ciri badannya tidak tegap seperti ciri-ciri dimiliki merpati lumba. Selain latihan, permakanan burung ini dipastikan menepati piawaian kerana ia perlu dijaga bagaikan 'atlet' seperti mana haiwan lumba lain iaitu kuda untuk pastikan prestasi optimum terutama stamina menjelang hari perlumbaan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Persatuan Merpati Selangor, Muhammad Aidil Adha Che Johari berkata, pihaknya berperanan sebagai pemudah atau membantu memberi sokongan teknikal kepada satu cabang aktiviti dalam kalangan peminat burung merpati.

"Perlumbaan merpati lumba adalah salah satu aktiviti membabitkan baka atau spesies haiwan itu. Ia boleh menjadi acara unik membabit peminat spesies unggas ini.

MERPATI lumba miliki bola mata lebih tajam dan besar selain bulu lebih berkilat serta badan tegap.
MERPATI lumba miliki bola mata lebih tajam dan besar selain bulu lebih berkilat serta badan tegap.

"Selain itu, ia memberi nilai tambah termasuk baka induk dimiliki pemilik merpati lumba yang menang. Sebagai contoh tahun lalu pernah diadakan perlumbaan kecil-kecilan sebelum penganjuran rasmi perlumbaan pada tahun ini.

"Mulanya nilai merpati lumba sebelum bertanding RM100, kemudian melonjak kepada RM3,000 apabila dibida. Kebanyakan merpati lumba yang baik diimport dan induknya pernah memiliki rekod memenangi pertandingan perlumbaan di luar.

"Saya fahamkan nilai pernah dibeli pemilik merpati lumba tempatan bagi menyertai perlumbaan tahun ini ialah RM20,000. Ini sesuatu sangat penting terutama kepada pembiak baka untuk menguji merpati mereka menepati piawaian perlumbaan segi ketahanan serta kepantasan," katanya.

BIJIRIN terpilih antara diet diberikan untuk membantu burung merpati lumba dalam keadaan terbaik menjelang hari pertandingan.
BIJIRIN terpilih antara diet diberikan untuk membantu burung merpati lumba dalam keadaan terbaik menjelang hari pertandingan.

Mengenai cabaran bagi merpati lumba itu sendiri, kata Muhammad Aidil Adha, selain perlu menempuh perjalanan jauh, beberapa risiko lain yang kemungkinan dihadapi burung terbabit adalah ancaman burung pemangsa selain masalah cuaca buruk yang mungkin menyebabkan burung ini gagal tiba ke garisan penamat.

"Mengenai risiko pemilik, tidak dinafikan kemungkinan mereka menghadapi risiko burung hilang. Maklumlah jarang dilepaskan jauh dan merentas beberapa sempadan negeri, mereka berkemungkinan menghadapi serangan burung pemangsa.

"Selain itu, masalah lain seperti ribut, angin dan hujan juga menyebabkan adakala haiwan ini tersalah arah. Ada yang pulang selepas beberapa hari kerana memori kuat iaitu untuk pulang semula ke aloft," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 7:00 AM