MEMANDULKAN haiwan kesayangan untuk mengelakkan pembiakan yang tidak dirancang.
MEMANDULKAN haiwan kesayangan untuk mengelakkan pembiakan yang tidak dirancang.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Pemilik anjing dan kucing perlu lebih bertanggungjawab dalam memelihara haiwan kesayangan masing-masing.

Ini kerana, haiwan terbabit bukan sahaja memerlukan tempat perlindungan, penjagaan dan makanan, malah turut memerlukan rawatan pencegahan seperti vaksinasi, pencegahan kutu, sengkenit, cacing serta mengelakkan daripada membiak tanpa dapat dikawal.

Pensyarah Hospital Veterinar Universiti, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Chen Hui Cheng berkata, jika tidak dimandulkan, kucing dan anjing boleh membiak dengan banyak.

Kucing kata beliau, mempunyai tempoh mengandung selama kira-kira 63 hari sahaja dan boleh beranak sehingga tiga kali dalam setahun.

"Setiap kali beranak, jumlahnya bukan satu atau dua ekor sahaja, kadangkala boleh melebihi lima ekor.

"Anak-anaknya pula akan menjadi matang dan boleh membiak seawal enam bulan.

"Jadi, bayangkan dalam tempoh setahun akan ada berapa banyak anak kucing dan ia akan menjadi isu kepada masyarakat setempat jika tidak terjaga serta terbiar begitu sahaja," katanya.

KONSEP Pemilikan Haiwan Peliharaan Secara Bertanggungjawab perlu diamalkan.
KONSEP Pemilikan Haiwan Peliharaan Secara Bertanggungjawab perlu diamalkan.

Jelas Dr Cheng lagi, salah satu daripada punca peningkatan bilangan haiwan terbiar seperti kucing dan anjing di jalanan kerana tidak dimandulkan.

Oleh itu, pemilik disaran memandulkan haiwan kesayangan untuk mengelakkan pembiakan yang tidak dirancang.

"Dalam hal ini, konsep Responsible Pet Ownership (Pemilikan Haiwan Peliharaan Secara Bertanggungjawab) perlu diamalkan.

"Ia demi menjaga kesejahteraan haiwan peliharaan itu sendiri dan keharmonian sesama jiran serta masyarakat setempat," katanya yang turut menggalakkan masyarakat mengambil kucing terbiar untuk dipelihara kerana ia juga berhak mendapat kasih sayang.

KUCING mempunyai tempoh  mengandung kira-kira 63 hari sahaja dan boleh beranak sehingga tiga kali dalam setahun.
KUCING mempunyai tempoh mengandung kira-kira 63 hari sahaja dan boleh beranak sehingga tiga kali dalam setahun.

Sementara itu, pelajar Fakulti Perubatan Veterinar, UPM dengan sokongan pihak universiti, pensyarah dan kakitangan turut menganjurkan projek khas bagi membantu haiwan kesayangan (anjing dan kucing) yang terbiar.

Objektif utama projek yang dinamakan Projek Pengkasian Haiwan Terbiar (Pro-Kasih) itu adalah untuk memberi kesedaran dan mendidik pelajar serta masyarakat mengenai pengkasian bagi membendung populasi haiwan jalanan.

Selain itu, ia juga dapat memberi maklumat kepada orang ramai mengenai masalah berkaitan haiwan terbiar di jalanan.

Di peringkat universiti itu pula, program Pro-Kasih juga dapat membantu mengawal populasi haiwan terbiar di sekitar kampus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 6:30 AM