SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sering meluangkan masa bersama kucing-kucing terbiar yang kini diambil untuk dipelihara di kawasan kediaman Baginda. Gambar kanan,  Snowy juga antara kucing peliharaan kesayangan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. FOTO Ihsan Selangor Royal Office
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sering meluangkan masa bersama kucing-kucing terbiar yang kini diambil untuk dipelihara di kawasan kediaman Baginda. Gambar kanan, Snowy juga antara kucing peliharaan kesayangan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. FOTO Ihsan Selangor Royal Office
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan dukacita kerana masih ada lagi individu dan pihak tertentu sengaja berlaku kejam terhadap haiwan-haiwan terbiar.

Baginda berdua juga terkilan kerana masih ada yang tidak tahu kaedah terbaik untuk melindungi mereka, khususnya ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Menerusi Selangor Royal Office, baginda berdua menitahkan sekalian rakyat jelata khususnya di Negeri Selangor agar tidak mengabaikan tanggungjawab melindungi haiwan-haiwan terbiar (stray) khususnya kucing dan anjing.

"Titah Baginda, adalah sangat penting untuk kita semua memiliki sifat belas kasihan terhadap haiwan sebegini dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memberi mereka makan dan perlindungan, sama ada ketika dalam peliharaan atau pun apabila mereka berada di dalam habitat sendiri.

"Baginda berdua sendiri kini memelihara beberapa ekor kucing terbiar yang telah dikasi (neuter) dan diberi perlindungan secukupnya.

"Ini termasuk Snowy, seekor kucing terbiar yang pada mulanya datang ke kediaman baginda empat tahun lalu untuk mencari makanan, namun diambil sebagai haiwan angkat di atas inisiatif Baginda sendiri.

"Snowy kini adalah kucing peliharaan kesayangan Sultan Sharafuddin dan menjadi peneman setia Baginda," katanya dalam kenyataan, hari ini.

PERNAH menjadi haiwan terbiar, Snowy kini menjadi peneman setia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan sentiasa berada di sisi Baginda. FOTO Ihsan Selangor Royal Office
PERNAH menjadi haiwan terbiar, Snowy kini menjadi peneman setia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan sentiasa berada di sisi Baginda. FOTO Ihsan Selangor Royal Office

Menurut Selangor Royal Office lagi, Snowy dihantar ke doktor veterinar untuk dikasi dan dibersihkan sebagaimana kucing terbiar lain yang diambil untuk dipelihara.

"Selain Snowy, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Penaung Diraja kepada program Stray Free Selangor (SFS) kendalian Persatuan Pencegah Penganiayaan Terhadap Haiwan (SPCA Selangor) telah menyelamatkan lebih 100 ekor kucing terbiar di mana kira-kira 30 ekor daripadanya dipelihara oleh Baginda sendiri, manakala selebihnya diberi sebagai haiwan angkat.

"Menurut Baginda, dengan kaedah mengambil sebagai haiwan angkat, haiwan terbiar ini boleh menjadi haiwan peliharaan yang bersih dan menyenangkan jika kita memberi rawatan dan penjagaan yang rapi.

"Untuk rekod, sejak Mac 2017 sehingga Disember 2020, sejumlah 7,117 ekor kucing dan anjing terbiar telah dikasi di bawah program SFS yang diselia oleh SPCA Selangor," katanya.

KUCING betina yang diberi nama Jacopo ini antara kucing terbiar yang diselamatkan oleh Tengku Permaisuri Norashikin.FOTO Ihsan Selangor Royal Office
KUCING betina yang diberi nama Jacopo ini antara kucing terbiar yang diselamatkan oleh Tengku Permaisuri Norashikin.FOTO Ihsan Selangor Royal Office

Dalam pada itu katanya, Sultan Sharafuddin juga menitahkan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih pro-aktif dan bijak menangani isu haiwan terbiar ini secara holistik, dan bukan memberi gambaran buruk yang akhirnya akan menyebabkan haiwan-haiwan ini dikurung atau dibunuh.

"Baginda mahu PBT menjadikan negara Turki sebagai model, bagaimana pihak berkuasa negara itu mengendalikan haiwan-haiwan terbiar yang tidak berdosa ini daripada dizalimi.

"Baginda berdua amat berharap agar rakyat dan seluruh komuniti di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya, terus menyemai sifat belas kasihan dan sayangkan haiwan terbiar ini serta mengambil berat hak dan kebajikan haiwan seumpamanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 12:26 PM