Fairul Asmaini Mohd Pilus


"KUCING, anjing dan haiwan lain juga adalah makhluk Allah, jadi ia berhak disayangi.

"Jangan sesekali abaikan atau buang haiwan peliharaan semata-mata untuk menyelesaikan masalah yang ada," demikian pinta pengasas pusat perlindungan haiwan, Star Cat Shelter di Melaka, Norashikin Ahmad, 29.

Norashikin berkata, nasib haiwan yang dibuang atau diabaikan itu boleh menjadikan lebih buruk terutama jika ia diserang haiwan liar lain, mengalami kemalangan jalan raya atau diseksa pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, sejak pusat perlindungan itu diwujudkan, dia dan rakan sukarelawan lain sudah menyelamatkan ratusan kucing dan anjing terbiar di sekitar Melaka serta seluruh semenanjung.

"Allah dorongkan hati saya dan rakan seperjuangan lain untuk menyelamatkan haiwan itu dalam cara yang tidak dijangka.

"Ada haiwan yang diselamatkan daripada pemilik yang mengabaikan kebajikan, terbiar di jalanan, ada yang ditemui menjadi mangsa kemalangan jalan raya dan ada yang menjadi mangsa serangan haiwan liar lain.

"Apapun, semua haiwan itu akan dirawat dan divaksin terlebih dahulu sebelum dibawa pulang ke pusat perlindungan," katanya ketika ditemui pada program kesedaran dan pemilikan haiwan

peliharaan 'We Love, We Care' anjuran Kelab Kucing Malaysia (KKM) di Alor Gajah, baru- baru ini.

RAKAN sukarelawan yang banyak membantu usaha Norashikin di Star Cat Shelter.
RAKAN sukarelawan yang banyak membantu usaha Norashikin di Star Cat Shelter.

Kasih dan sayang Norashikin terhadap haiwan sememangnya tiada sempadan sehingga sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit.

Biarpun terpaksa menanggung beban kewangan selain berdepan kekangan masa dan tenaga, Norashikin mengakui, dia tidak akan sesekali berputus asa dalam usaha menyelamatkan haiwan yang terbiar.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, pusat perlindungan haiwan berkenaan kini menempatkan hampir 100 ekor kucing dan 60 ekor anjing serta lima ekor monyet yang kebanyakannya cacat serta diselamatkan dari jalanan.

Kata Norashikin, pusat perlindungan haiwan itu mempunyai seorang kakitangan dan dibantu 10 sukarelawan dari sekitar negeri terbabit.

Selain itu, ahli keluarga termasuk suaminya juga membantu menjaga kebajikan haiwan di pusat berkenaan.

"Berbanding pusat perlindungan haiwan lain, kami tidak menerima kucing yang mahu dibuang dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika ada pihak yang menceroboh masuk ke tanah persendirian ini untuk menghantar haiwan peliharaan yang sudah tidak diperlukan lagi.

ANTARA kucing jalanan yang diselamatkan dan ditempatkan di pusat perlindungan haiwan itu.
ANTARA kucing jalanan yang diselamatkan dan ditempatkan di pusat perlindungan haiwan itu.

"Ini kerana di sini bukan tempat pembuangan haiwan sebaliknya tempat perlindungan untuk haiwan yang diselamatkan dari jalanan.

"Orang ramai perlu dididik supaya jangan sewenang-wenangnya membuang haiwan peliharaan mereka hanya semata-mata sudah tidak memerlukannya lagi," katanya.

Kata kakitangan syarikat swasta itu lagi, setiap bulan pusat perlindungan haiwan itu memerlukan kira-kira RM10, 000 untuk membeli makanan dan barangan keperluan berkaitan penjagaan.

Untuk kos rawatan pula, ia bergantung kepada kes namun Norashikin bersyukur kerana banyak pihak terutama klinik haiwan (Klinik Haiwan Rizqy, Maju Animal Clinic, My Animal Clinic, Family Vet, Chong Veterinary Clinic dan Jabatan Veterinar Melaka) memberi kerjasama dalan merawat haiwan yang diselamatkan.

"Pihak terbabit sanggup membenarkan kami berhutang bagi memberi rawatan terlebih dahulu dan dana sumbangan daripada orang ramai pula digunakan sepenuhnya untuk membayar bil-bil perubatan yang tertunggak serta keperluan lain.

"Sebenarnya saya hanya meminjamkan tenaga dan masa kerana dana yang digunakan adalah sepenuhnya disumbangkan oleh rakyat Malaysia yang prihatin," katanya.

HAIWAN peliharaan perlu dirawat dan divaksin untuk melindunginya.
HAIWAN peliharaan perlu dirawat dan divaksin untuk melindunginya.

Mengulas lanjut mengenai Star Cat Shelter, Norashikin berkata, usaha yang dilakukan secara aktif sejak tahun 2014 itu adalah sedikit sebanyak mengikut jejak langkah arwah ayahnya, Ahmad Saad.

Kata Norashikin, arwah ayahnya memang sangat sayangkan haiwan, jika ada haiwan sakit yang dia jumpa, pasti akan dibawa balik untuk dirawat.

"Sejak kecil saya lihat perbuatan baik ayah kepada haiwan dan saya niatkan pahala ini (membantu haiwan terbiar) disedekahkan kepada arwah ayah.

"Saya berharap ibu bapa lain di luar sana juga dapat menyemai sifat sayang kepada haiwan dalam diri anak-anak mereka sejak kecil lagi," katanya yang turut menggalakkan pemilik kucing supaya memandulkan haiwan peliharaan mereka.

Pada program berkenaan, KKM turut menyumbang bantuan makanan serta 70 vaksin kepada kucing dan 30 vaksin kepada anjing yang berada di pusat perlindungan haiwan terbabit menerusi kempen Jom Kongsi Rezeki.

Program itu turut dihadiri Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin dan Presiden KKM, Khalid Rashid.

Menurut Khalid, KKM menggalakkan orang ramai untuk mengambil haiwan yang ditempatkan di pusat perlindungan bagi tujuan haiwan angkat ('adoption.')

"Jangan beli (contohnya kucing baka mahal), sebaliknya bantu dan ambil haiwan yang ada di pusat perlindungan.

"Selain itu, pemilik juga perlu pastikan haiwan kesayangan dilindungi dengan vaksin yang berkaitan dan lakukan juga pemandulan.

"Jika semua pihak memainkan peranan, masalah haiwan dan kucing terbiar itu akan dapat dikurangkan," katanya

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, kempen 'Adopt, Dont Shop' dapat menggalakan orang ramai tampil membantu haiwan terbiar.

Kata beliau, orang ramai perlu ada kesedaran mengenai penjagaan haiwan peliharaan dan harus sedar bahawa ada peruntukan undang-undang yang boleh melindungi haiwan daripada dianiaya.

"Dengan adanya program dan usaha sebegini, diharapkan dapat mendidik masyarakat supaya lebih menghargai serta menyayangi haiwan peliharaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 7:00 AM