MEMBELA haiwan peliharaan juga dapat menyemai sifat bertanggungjawab dalam diri kanak-kanak.
MEMBELA haiwan peliharaan juga dapat menyemai sifat bertanggungjawab dalam diri kanak-kanak.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Selain menjadi peneman setia, tahukah anda bahawa haiwan peliharaan sebenarnya boleh membantu perkembangan kanak-kanak?

Haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, hamster, ikan, burung dan pelbagai lagi terbukti memiliki banyak kelebihan untuk si kecil anda.

Antaranya, mendidik si manja mengenai disiplin sepanjang memelihara haiwan kesayangan mereka.

Si kecil perlu mengetahui cara asas penjagaan haiwan yang betul termasuk ketika memberikan makan, tidur dan juga waktu memandikan.

Amalan seperti disiplin dan mematuhi peraturan penjagaan haiwan tentunya dapat diterap dalam kehidupan mereka.

Membela haiwan peliharaan juga dapat menyemai sifat bertanggungjawab dalam diri kanak-kanak.

Ini kerana haiwan peliharaan memerlukan perhatian dan penjagaan rapi daripada individu yang membelanya.

SI manja akan belajar jadi penyayang dan bersifat belas kasihan kepada haiwan.
SI manja akan belajar jadi penyayang dan bersifat belas kasihan kepada haiwan.

Namun, adalah penting untuk ibu bapa membantu anak-anak menjaga haiwan peliharaan secara beransur-ansur sebelum melepaskan tanggungjawab kepada mereka dari semasa ke semasa.

Nilai tanggungjawab yang disemai itu juga secara tidak langsung akan membina keyakinan diri kanak-kanak.

Selain itu, kanak-kanak juga akan belajar menjadi seorang yang penyayang dan bersifat belas kasihan kepada haiwan.

Dalam pada itu, interaksi si manja dengan haiwan peliharaan juga akan membuatkan mereka bergerak lebih aktif dan cergas, sekali gus meningkatkan kemahiran motor.

Aktiviti fizikal yang banyak dilakukan bersama haiwan peliharaan jiga dapat membantu kanak-kanak kekal aktif dan sihat.

Kebanyakkan kanak-kanak yang mempunyai haiwan peliharaan juga kurang menghabiskan masa dengan televisyen atau gajet.

HAIWAN peliharaan peneman setia kanak-kanak ketika dalam kesedihan.
HAIWAN peliharaan peneman setia kanak-kanak ketika dalam kesedihan.

Ini kerana banyak masa mereka dihabiskan dengan bermain dan melayan 'kawan baik' itu sehingga ada yang sanggup makan serta tidur bersama.

Sepanjang memelihara haiwan juga, kanak-kanak akan mempelajari banyak perkara baru sekali gus menambah pengetahuan mereka, contohnya bagaimana untuk memandikan haiwan atau menjaga haiwan sakit.

Ketika berada dalam kesedihan, haiwan peliharaan juga boleh menjadi peneman setia kanak-kanak.

Menurut kajian, haiwan sememangnya mempunyai aura tersendiri yang membawa rasa ketenangan kepada manusia.

Dengan hanya melihat ikan dalam akuarium selama 30 minit misalnya, ia dikatakan mampu membantu meredakan tekanan darah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 6:10 AM