MOHD Badrul bersama meerkat berusia 20 hari.
MOHD Badrul bersama meerkat berusia 20 hari.
Muhamaad Razis Ismail


KEMUNCULAN meerkat di dalam filem animasi The Lion King berjaya menaikkan populariti haiwan yang berasal dari Afrika itu.

Apa tidaknya gelagat lucu meerkat bernama Timon mencuit hati sesiapa yang menonton sekali gus menjadi antara watak kegemaran penonton.

Malah, kemampuan haiwan eksotik ini berdiri menggunakan kedua-dua kaki belakangnya menjadikannya unik dan menarik.

Realitinya, mamalia ini hidup secara berkumpulan yang terdiri daripada 20 hingga 30 ekor dengan menjadikan serangga, ulat, telur dan kala jengking sebagai makanan.

Biarpun kelihatan agresif, masih ramai yang tidak mengetahui bahawa meerkat boleh dijadikan haiwan peliharaan di negara ini tanpa memerlukan lesen.

Meerkat yang dipelihara dan dibiakkan sebenarnya lebih manja serta nakal.

Lebih unik, haiwan ini sangat suka menonton televisyen dan boleh berkawan rapat dengan kucing serta kanak-kanak yang dikenalinya di rumah.

Penulis sendiri teruja apabila berpeluang melihat dengan lebih dekat meerkat milik Mohd Badrul Zaman Mohd Basri, 42, yang dipelihara di kediamannya di Subang Bestari, Selangor baru-baru ini.

Sebaik tiba, haiwan yang dipelihara di dalam sangkar terus berdiri seolah-olah menyambut kehadiran penulis dan jurugambar.

Pemilik Littlepets Safari itu berkata, meerkat memiliki karakter yang manja, suka bermain dan setia kepada tuannya.

Katanya, kebiasaannya meerkat yang berjaya dijinakkan akan dilepaskan berkeliaran di dalam rumah.

"Meerkat sangat manja dengan pemiliknya. Apabila nampak saya duduk di sofa, ia akan hampiri dan duduk di atas perut. Anak saya pun selalu melayan dan bermain dengan meerkat.

"Kadang kala apabila saya sedang makan 'pop corn,' ia dengan selamba akan ambil makan bersama-sama.

"Menariknya, apabila saya buka saluran dokumentari berkenaan meerkat di televisyen, secara automatik ia akan berdiri terpaku seolah-olah ia sendiri berada di dalam rancangan itu," katanya.

Menurutnya, proses untuk menjinakkan haiwan itu sebenarnya tidak mudah dan mengambil masa yang agak lama.

MEERKAT dijinakkan sejak dari kecil.
MEERKAT dijinakkan sejak dari kecil.

"Saya mula beli dua betina dan seekor jantan meerkat liar daripada sebuah kedai haiwan peliharaan sembilan tahun lalu. Pada ketika itu memang sukar kerana di habitat asal, haiwan ini mengelak daripada bertemu dengan manusia.

"Selepas berjaya biakkan, saya mula menjinakkan anak meerkat sebelum ia membuka mata dengan memberi susu dan ajarnya membuang najis di pasir yang disediakan. Dengan cara ini, haiwan ini dapat dijinakkan," katanya.

Katanya, biarpun berasal dari Afrika, penjagaan meerkat sangat mudah seperti memelihara kucing.

"Meerkat akan dimandikan sama ada dua minggu atau sebulan sekali bergantung kepada tahap kebersihan sangkarnya.

"Makanan pula, saya gunakan 'kibble' kucing yang diberikan dua ke tiga kali sehari. Sebulan sekali saya akan berikan ulat.

"Apabila mempunyai masa terluang terutama ketika hujung minggu, saya akan bawa meerkat keluar bersiar-siar di kawasan sekitar rumah," katanya.

Tambahnya, meerkat mengambil sedikit masa untuk jinak dengan individu yang pertama kali dilihat.

"Kita tidak boleh datang terus terpa ke arahnya kerana meerkat akan berasa terancam. Biasanya, meerkat akan menghidu bau dan apabila berasa selamat ia akan menjadi jinak.

"Untuk pemilik baru, saya nasihatkan, meerkat diletakkan beberapa hari di dalam sangkar untuk beri masa kepada haiwan itu mengenali 'bau' tuannya," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, Mohd Badrul ingin menjadi pelopor meerkat baka tempatan di negara ini.

"Masih ramai yang tidak tahu bahawa ia sesuai untuk dijadikan haiwan peliharaan kerana kurang diberi pendedahan.

"Dengan pengalaman dan pengetahuan sedia ada, saya harap dapat berkongsi ilmu berkenaan haiwan unik ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 7:00 AM