TERAPI kuda membantu membina keyakinan kanak-kanak.
TERAPI kuda membantu membina keyakinan kanak-kanak.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Terapi bantuan haiwan atau dikenali sebagai AAT bukan fenomena baru di Barat selepas saintis mendapati kanak-kanak berkeperluan khas yang memiliki haiwan peliharaan lebih terurus ketika berdepan tekanan perasaan berbanding mereka yang tidak memilikinya.

Ia adalah rawatan pemulihan untuk kanak-kanak berkeperluan khas menggunakan haiwan sebagai medium untuk memulih dan merangsang perasaan atau emosi mereka melalui interaksi bersama haiwan.

Terapi haiwan ini nyata banyak memudahkan kehidupan seharian pesakit pelbagai latar belakang dan usia selain menjadi antara penyumbang besar kepada impak pulih dalam kalangan pesakit.

Begitu juga dengan kuda yang kini banyak digunakan bagi membantu pesakit kanak-kanak yang mengalami autisme, gangguan perkembangan kompleks, penyakit saraf, palsi serebrum, sindrom Down, epilepsi dan dispraksia.

Penunggang boleh mendapat manfaat melalui interaksi dengan haiwan dan ketenangan fikiran yang hadir dengan setiap langkah tunggangan kuda.

Tambahan pula, kajian penyelidikan yang dilakukan Jurnal Perubatan Fizikal dan Pemulihan Amerika turut mendedahkan kebanyakan kajian menunjukkan trend ke arah kesan menguntungkan terapi menunggang kuda ke atas keseimbangan dan fungsi motor kasar yang boleh memberi manfaat kepada individu autisme terhadap kekurangan mereka.

Pusat intervensi awal holistik untuk kanak-kanak keperluan khas Animals for Young (AFY) baru-baru ini menganjurkan program terapi kuda, Horses for Young sebagai pendedahan kepada umum keberkesanan terapi kuda untuk memulih dan membangkitkan keyakinan diri pada kanak-kanak istimewa.

Program yang berlangsung selama tiga hari pada 17 hingga 19 Ogos lalu di IOI City Mall Putrajaya itu bukan saja bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai autisme malah menyebarkan mesej positif dan penerimaan terhadap masalah berkenaan dalam kalangan orang ramai.

TENGKU Munazirah bersama kanak-kanak yang hadir.
TENGKU Munazirah bersama kanak-kanak yang hadir.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan khususnya untuk kanak-kanak. Antara yang menarik minat pengunjung ialah cabaran menunggang kuda mainan (Hobbyhorse Riding), apabila mereka akan bersaing dengan kuda mainan sendiri untuk menjadi pelumba terpantas.

Halangan bagi pertandingan ini dibina untuk memberi manfaat kepada perkembangan kanak-kanak merangkumi persepsi visual-pendengaran-taktil, kemahiran motor, koordinasi imbangan, kemahiran motor halus dan permainan kreatif.

Hobbyhorse dikenali sebagai sukan yang agak baru di Asia. Bagaimanapun, di Finland ia agak terkenal apabila kejohanan tahunan dianjurkan mengumpulkan peminat Hobbyhorse di negara itu. Oleh itu, ini adalah pertandingan berasaskan Hobbyhorse yang pertama di Malaysia dianjurkan oleh Horses for Young.

Pengasas AFY Dr EJ Khew berkata, menunggang kuda bukan saja pengalaman menyeronokkan malah ia turut memberi banyak manfaat kerana tumpuan semasa menunggang kuda memberikan kesan meditasi untuk penunggang.

DR Khew dan Tengku Munazirah membantu kanak-kanak dalam aktiviti dijalankan.
DR Khew dan Tengku Munazirah membantu kanak-kanak dalam aktiviti dijalankan.

Katanya, interaksi dan terapi melalui aktiviti berkaitan haiwan lebih holistik dan bermanfaat malah ramai yang tidak menyedari terapi haiwan turut membantu dalam perkembangan emosi, fizikal dan sosial untuk manusia.

“Selaras arah tuju AFY menggunakan haiwan untuk membantu dalam perkembangan kanak-kanak yang sihat, lebih banyak aktiviti seperti ini akan dianjurkan untuk menggalakkan dan membina kepentingan orang awam dengan haiwan serta keperluan autisme.

“Bahkan untuk sesuatu yang besar seperti kuda, kita juga mahu penyertaan kanak-kanak dari latar belakang berbeza dengan memperkenalkan Cabaran Young HobbyHorse pertama di Malaysia, supaya anak-anak dapat mula membina minat dan kesukaan terhadap kuda sebelum kita memperkenalkan mereka kepada kuda sebenar.

“Penyelidikan membuktikan kanak-kanak yang membesar dengan haiwan adalah lebih penyayang, bertanggungjawab dan positif secara sosial. Kami berharap dengan melakukan program seperti ini dapat membantu membina komuniti masa depan yang lebih positif,” katanya.

DR Khew (dua dari kanan) bersama Pengasas The Hope Factory Malaysia Tengku Munazirah Tengku Abdul Samad Shah Al-Haj (tiga dari kanan) pada pelancaran Horses for Young.
DR Khew (dua dari kanan) bersama Pengasas The Hope Factory Malaysia Tengku Munazirah Tengku Abdul Samad Shah Al-Haj (tiga dari kanan) pada pelancaran Horses for Young.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 2:56 PM