NURUL Ain berusaha sebaik mungkin bagi memastikan kelangsungan pengurusan S.I Home Shelter.
NURUL Ain berusaha sebaik mungkin bagi memastikan kelangsungan pengurusan S.I Home Shelter.
Iskandar Shah Mohamed


SHAH ALAM: “Biarpun berdepan masalah kewangan, kami masih berpegang kepada amanah mahu memastikan semua kucing dipelihara sebaik mungkin,” kata pemilik pusat jagaan dan perlindungan kucing S.I Home Shelter, Nurul Ain Abdul Hamid, 26.

Pusat yang menjaga 428 kucing terbiar termasuk cacat dan berpenyakit di Taman Sri Muda di sini, kini mengharapkan sumbangan orang ramai untuk menampung kos perbelanjaan ‘si bulus’ berkenaan.

Nurul Ain berkata, pihaknya mula menghadapi masalah selepas sebuah syarikat menarik diri sebagai penaja utama pusat itu atas faktor kewangan sejak beberapa bulan lalu.

“S.I Home Shelter merangkumi tiga pusat jagaan termasuk rumah saya secara puratanya memperuntukkan kos RM15,000 sebulan untuk menguruskan kucing.

“Selain kos sewa bulanan premis, bil utiliti dan gaji pekerja, ia merangkumi 450 kilogram makanan kering serta kos perubatan semua kucing termasuk yang berpenyakit.

“Kami setakat ini masih memenuhi semua keperluan namun berdepan tunggakan hutang yang banyak dengan pihak tertentu,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Menurut ibu kepada seorang anak itu, dia kini mengambil alih tugas menguruskan pusat berkenaan berikutan tahap kesihatan suaminya, Muhamad Razeef Che Shamah, 38, mula merosot sejak hujung tahun lalu.

“Suami saya perlu menjalani rawatan akibat masalah buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis, sekali gus menyebabkannya tidak berupaya aktif seperti sebelum ini.

“Pendapatan saya sebagai kerani tidak seberapa dan suami turut membantu kewangan kami dengan menjual motosikal klasik,” katanya.

Kata Nurul Ain, pihaknya berusaha sebaik mungkin bagi memastikan kelangsungan pengurusan pusat jagaan dan mengharapkan sumbangan orang ramai.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 512781085946 (S.I Shelter) atau menghubungi talian 013-5131833/ 017-320 6869.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Nurul Ain menganggap kucing peliharaan itu amanah Allah SWT dan akan berusaha menjaga walaupun perlu berkorban masa, wang dan tenaga.

Keinginannya menyelamat kucing terbiar termasuk yang mengalami kecacatan dan kecederaan akibat penyakit serta kemalangan didorong rasa simpati terhadap nasib haiwan berkenaan.

Kira-kira 30 kucing kategori istimewa seperti lumpuh, buta dan cedera akibat jangkitan kuman dan lain-lain penyakit ditempatkan di rumahnya untuk pemantauan rapi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 6:00 AM