ANTARA kucing jalanan yang diselamatkan. FOTO  Mary Victoria Dass
ANTARA kucing jalanan yang diselamatkan. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Saya berdepan dengan pelbagai ujian termasuk pernah hampir terputus bekalan makanan kucing namun saya tidak menghentikan kerja amal ini dan terus berusaha memastikan nasib haiwan ini tidak terabai," kata pemilik Cat Tiram Shelter (CAT), Nor Azhar Abdul Hamid.

Nor Azhar, 52, atau dikenali sebagai Hatta berkata, kewujudan pusat perlindungan kucing itu bermula apabila dia menjadi Ahli Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) atau kini dikenali sebagai Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada 2015 dan kerap menerima aduan berkaitan kucing jalanan.

Menurutnya, hasil tinjauan, dia mendapati masyarakat sekitar turut menjadi penyumbang kepada pertambahan kucing terbiar apabila ada yang membuang haiwan itu apabila berpenyakit atau tidak mampu memberi jagaan atas faktor kesihatan mahupun kewangan.

"Saya tidak sampai hati melihat haiwan ini dibuang begitu saja dengan keadaan sakit dan berkurap. Saya mula menjalankan kegiatan menyelamatkan beberapa kucing jalanan dan memberi rawatan kerana saya gembira melihat haiwan ini sihat.

"Lama-kelamaan timbul idea mengasaskan pusat perlindungan kucing jalanan di tanah milik keluarga di kawasan seluas 1.69 hektar di Sungai Tiram di sini pada 2016.

"Saya membelanjakan hampir RM70,000 bagi mengasaskan pusat perlindungan ini," katanya.

HATTA meluangkan masa bersama kucing yang diselamatkan di CAT. FOTO Mary Victoria Dass
HATTA meluangkan masa bersama kucing yang diselamatkan di CAT. FOTO Mary Victoria Dass

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia memberi perlindungan kepada 260 kucing jalanan yang diselamatkan.

Menurutnya, demi mengurus pusat perlindungan kucing selain sebuah syarikat pengurusan acara, dia berhenti kerja sebagai kakitangan bank beberapa tahun lalu.

Katanya, dia bersyukur kerana walaupun sibuk dengan tugasan harian, dia tidak pernah mengenepikan aspek penjagaan kucing di pusat perlindungan dengan bantuan beberapa pekerja.

"Perkara utama dalam mengurus pusat perlindungan kucing ini adalah memastikan rutin rawatan dan pembersihan dan pemakanan.

"Ketika pandemik Covid-19, bekalan makanan kucing hampir terputus namun saya bersyukur apabila beberapa individu tampil membantu pada saat akhir.

"Alhamdulillah sehingga kini Allah memberi kekuatan kepada saya untuk meneruskan usaha murni ini dan berkat kerja amal ini, bukanlah saya menjadi kaya-raya tetapi rezeki saya tidak putus dan ia memberi kepuasan tidak ternilai," katanya.

Hatta berkata, dia bersyukur kerana ada individu yang sanggup mengambil kucing jagaannya walaupun ia masih dalam rawatan dan menyatakan mereka mahu memberi perlindungan serta penjagaan baik.

Menurutnya, dia bagaimanapun tidak menggalakkan sesetengah pemilik kucing yang sengaja mahu melepas tanggungjawab dengan menghantar kucing ke pusat perlindungan berkenaan.

"Sekiranya mereka tetap mahu menyerahkan kucing, kami meminta mereka membelikan 30 kilogram makanan bagi menampung keperluannya untuk 180 hari.

"Saya tidak bergantung kepada derma orang ramai namun saya tidak menolak sekiranya ada yang ingin memberi sumbangan makanan kucing sebarang jenama," katanya.

Hatta berkata, dia juga menggalakkan pencinta kucing bagi menjalankan kerja sukarelawan di pusat perlindungan kucing itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 11:16 AM