TIMBALAN Presiden Platform Rekabentuk Apple, Tim Millet memperkenalkan rekaan pemproses A14 Bionic yang digunakan menerusi peranti iPad Air baharu. FOTO IHSAN APPLE
TIMBALAN Presiden Platform Rekabentuk Apple, Tim Millet memperkenalkan rekaan pemproses A14 Bionic yang digunakan menerusi peranti iPad Air baharu. FOTO IHSAN APPLE
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


SETIAP pengeluar perkakasan pintar memiliki 'senjata rahsia' mereka dalam padanan spesifikasi supaya mampu untuk menghasilkan satu peranti yang bukan saja menawarkan pengalaman mengagumkan kepada pengguna sebaliknya manifestasi kepada teknologi semasa.

'Jantung' kepada sesuatu peranti ini pastinya cip pemproses memandangkan ia akan menentukan keupayaan pemproses dalam satu-satu masa serta mengelakkan peranti daripada mengalami kelengahan (lagged) tatkala melancarkan aplikasi yang berat.

Syarikat gergasi elektronik serta peneraju teknologi dunia, Apple memiliki senjata rahsia sejak saban tahun lalu dengan cip pemproses 'Apple Bionic' mereka yang terbukti lebih unggul berbanding pesaing mereka.

Baru-baru ini, menerusi majlis pengumuman khas 'Time Flies', Apple memperkenalkan dua produk ikonik mereka iaitu peranti boleh pakai Apple Watch Series 6 dan iPad Generasi Kelapan termasuk iPad Air.

Antara semua produk berkenaan, paling mencuri tumpuan adalah iPad Air memandangkan ia menggunakan cip pemproses generasi baharu keluaran Apple iaitu Apple A14 Bionic dengan rekaan 5nm.

Cip berkenaan memiliki 11.8 bilion perintang (transistors) dan boleh melakukan 11 trilion pengoperasian proses sesaat dan keupayaan pemproses ini akan memberi kesan besar kepada kefungsian peranti.

Cip pemproses Apple A14 Bionic dengan rekaan 5nm itu adalah yang pertama untuk industri yang didatangkan dengan keupayaan pemproses empat terus unit pemproses grafik (GPU).

APPLE A14 Bionic mampu memproses11 trilion pengoperasian sesaat. FOTO IHSAN APPLE
APPLE A14 Bionic mampu memproses11 trilion pengoperasian sesaat. FOTO IHSAN APPLE

APPLE memperkenalkan cip pemproses paling maju dalam industri iaitu A14 Bionic dengan rekaan 5nm sekali gus memberikan prestasi
APPLE memperkenalkan cip pemproses paling maju dalam industri iaitu A14 Bionic dengan rekaan 5nm sekali gus memberikan prestasi

Pengenalan cip baharu berkenaan juga memperlihatkan pertambahan kuasa prestasi sebanyak 40 peratus jika dibandingkan dengan Apple A13 Bionic iaitu pemproses generasi terdahulu.

Pemproses Apple A14 Bionic itu juga memudahkan pengguna untuk melakukan penyuntingan video resolusi 4K atau Definisi Ultra Tinggi (UHD), pengalaman permainan yang lebih baik dan keupayaan untuk melancarkan sebarang aplikasi tanpa lengahan.

Rekaan cip 5nm ini memberikan kecekapan kepenggunaan tenaga kepada sesebuah peranti dan menggunakan pemproses enam terus.

Untuk memberikan keupayaan pembelajaran mesin, pemproses A14 Bionic mempunyai Enjin Neural 16 teras yang dua kali lebih pantas dan mampu untuk melakukan 11 trilion pengoperasian sesaat sekali gus membawa aplikasi pembelajaran mesin ke tahap yang lebih baik.

Pemproses ini juga didatangkan dengan pemecut generasi kedua pembelajaran mesin dalam CPU untuk pengiraan 10 kali lebih pantas.

Kombinasi Enjin Neural baharu, pemecut pembelajaran mesin dan keupayaan GPU berprestasi tinggi membolehkan peranti beroperasi lebih baik terutamanya untuk operasi pengecaman gambar, pembelajaran bahasa, analisis gerakan dan banyak lagi operasi rumit yang lain.

Penggunaan cip pemproses berkuasa tinggi ini pastinya akan menawarkan pengalaman kepenggunaan yang lebih baik termasuk membolehkan pelbagai operasi rumit perkomputeran yang lain dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

Apple yang terkenal dengan peneraju teknologi masa depan sekali lagi memberikan impak kepada industri terutamanya untuk segmen teknologi apabila mampu untuk menghasilkan satu cip pemproses rekaan 5nm yang pertama dalam industri pada masa kini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 7:00 AM