APPLE memperkenalkan iPad Air 2020 dengan cip pemproses baharu A14 Bionic menawarkan kuasa prestasi lebih baik berbanding generasi dahulu.
APPLE memperkenalkan iPad Air 2020 dengan cip pemproses baharu A14 Bionic menawarkan kuasa prestasi lebih baik berbanding generasi dahulu.
Muhammad Saufi Hassan

Jika diberikan pilihan kepada sesiapa saja untuk memilih peranti antara 'laptop' atau 'tablet' bagi pengurusan harian mungkin masih ada yang berbelah bahagi dengan dua pilihan berkenaan.

Bagaimana pula, jika 'tablet' berkenaan dilengkapi dengan keupayaan pelbagai tugas, papan kekunci pintar serta pengguna pensel pintar untuk tugasan yang memerlukan kepada kejituan sama ada lukisan mahupun pelan.

Pastinya, ramai yang akan memilih 'tablet' berkenaan kerana ciri khusus yang sangat mirip dengan laptop, malah ia lebih ringan serta mudah untuk dibawa jika dibandingkan perkakas konvensional yang lain.

Untuk itu, pastinya penulis mencadangkan supaya memilih produk baharu keluaran Apple iaitu iPad Air 2020 yang bukan saja dilengkapi dengan pelbagai ciri baharu malah menggunakan cip pemproses paling maju.

Menyentuh aspek cip pemproses, iPad Air 2020 menggunakan Apple A14 Bionic iaitu rekaan pertama cip 5nm serta mampu untuk melaksanakan tugas operasi 11 trilion sesaat sekali gus menjadikan ia pemproses paling berkuasa yang pernah ditawarkan di pasaran.

Bagaimanapula dengan prestasi aplikasi 'berat' seperti penyuntingan adakah jauh berbeza dengan cip pemproses biasa? Jawapan untuk persoalan itu adalah cip Apple A14 Bionic ini memudahkan pengguna untuk melakukan suntingan video dalam resolusi 4K tanpa sebarang masalah.

PERANTI mudah alih ini bukan saja sesuai untuk tujuan kasual sebaliknya memberi banyak kelebihan kepada tugasan produktiviti harian.
PERANTI mudah alih ini bukan saja sesuai untuk tujuan kasual sebaliknya memberi banyak kelebihan kepada tugasan produktiviti harian.

Bukan saja untuk suntingan aplikasi, malah jika melancarkan aplikasi kesan grafik untuk lukisan seni juga sangat baik dibantu oleh pensel pintar,

Apple Pencil malah sangat sesuai untuk semua jenis permainan yang memerlukan keupayaan grafik tinggi.

Peranti iPad Air ini turut didatangkan dengan keupayaan kamera depan 7 megapiksel (MP) untuk FaceTime Definisi Tinggi (HD) serta kamera belakang 12MP yang mampu melakukan rakaman imej definisi tinggi dan video resolusi 4K.

Penulis sangat selesa dengan iPad Air 2020 memandangkan ia bukan saja mudah untuk dibawa ke mana saja dengan saiz yang kecil dan ringan, malah mampu untuk menyelesaikan setiap tugasan produktiviti tanpa sebarang masalah.

Urusan suntingan video juga tidak memberi masalah, malah ketahanan baterinya sangat mengagumkan apabila mampu untuk bertahan lebih sembilan jam dengan penggunaan semua aplikasi optimum.

Peranti ini juga dilengkapi dengan sistem keselamatan TouchID, jadi pengguna tidak perlu bimbang kerana Apple sentiasa memastikan produk keluaran mereka mempunyai tahap keselamatan terbaik di pasaran.

Paparan 'Liquid Retina' dengan keluasan 10.9 inci LED-Backlit sesentuh bersama teknologi IPS sebenarnya sangat membantu untuk tugasan kreativiti seperti suntingan gambar atau video kerana memberi tona warna jelas berbanding beberapa jenama lain dengan kelas sama yang ada di pasaran.

Secara keseluruhannya, penulis menyatakan bahawa iPad Air 2020 adalah peranti pelbagai peranan bermula daripada tugasan ringan seperti menaip dokumen sehingga kepada suntingan gambar serta video yang kompleks, iPad Air mampu untuk melaksanakan semua tugasan dengan mudah.

Aspek saiz dan berat juga memberi kelebihan kepada pengguna untuk membawa tanpa merasa 'terbeban' dengan beg galas yang berat sebaliknya boleh disimpan di dalam tas tangan saiz sederhana bagi wanita atau memegangnya seperti fail untuk lelaki.

Tanda harga untuk iPad Air storan 64GB versi Wi-Fi adalah RM2,599 dan untuk versi storan 256GB bersama Wi-Fi dan selular adalah RM3,799.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 6:20 AM