Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


Apple memperkenalkan dua barisan produk ikonik keluarannya iaitu Apple Watch dan variasi peranti iPad, awal pagi tadi.

Syarikat gergasi itu juga memperkenalkan peranti boleh pakai iaitu Apple Watch SE buat kali pertama dengan harga lebih mampu milik berbanding variasi Apple Watch Series 6.

Menerusi pengumuman khas ketika penganjuran majlis 'Time Flies' secara maya awal pagi tadi, Apple bukan saja memperkenalkan peranti boleh pakai generasi baharu iaitu Apple Watch Series 6 tetapi turut menambah pilihan pengguna iaitu pengenalan kepada Apple Watch SE yang mempunyai kefungsian hampir sama.

Pada masa sama, Apple juga memperbaharui produk iPad Generasi Kelapan termasuk pembaharuan iPad Air.

Bagi Apple Watch Series 6, Apple memperbaharui kefungsian utama peranti boleh pakai berkenaan dengan pengenalan kepada beberapa ciri baharu khususnya dalam usaha masyarakat dunia mendepani wabak Covid-19.

Untuk tujuan itu, Apple Watch Series 6 dilengkapi dengan notifikasi kepada pengguna untuk membasuh tangan termasuk dengan tetapan jangka masa terbaik supaya pembersihan dapat dilakukan secara optimum.

Peranti boleh pakai berkenaan mempunyai kefungsian untuk memeriksa kadar oksigen pada darah (SpO2) dan ia menggunakan algoritma unik bersama-sama dengan pencahayaan infrared.

Apple Watch Series 6 ini menggunakan pemproses S6 dwi teras berasaskan kepada cip Apple A13 Bionic dengan optimasi khusus untuk jam pintar.

Paparan pemuka jam juga ditambah baik dengan Memoji Face dan beberapa fungsi lain yang direka untuk semua peringkat pengguna.

Syarikat gergasi elektronik itu juga mengumumkan bahawa peranti boleh pakai keluaran mereka tidak lagi disertakan dengan penyesuai kuasa USB sekali gus mengurangkan pembaziran yang memberi kesan kepada alam sekitar.

Sempena pengumuman khusus itu juga, Apple turut mengumumkan pembaharuan iPad Generasi Kelapan yang didatangkan khusus dengan pemproses Apple A12 Bionic yang berkemampuan dalam pelbagai kepelbagaian tugas.

Secara asasnya, iPad berkenaan masih menggunakan rekaan sama seperti generasi sebelumnya dengan pengekalan fungsi Touch ID dan skrin berkeluasan 10.2 inci.

Peranti iPad Air juga turut diumumkan dan ia menggunakan pemproses Apple A14 dengan rekaan cip 5nm serta sokongan USB jenis C.

Tanda harga bagi Apple Watch Series 6 bermula pada harga RM1,749, Apple Watch SE (RM1,199), iPad Generasi Kelapan (RM1,449) dan iPad Air (RM2,599).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 10:06 AM