Muhammad Saufi Hassan

APPLE dikatakan bakal melancarkan peranti ditunggu-tunggu iaitu iPhone 12 pada Oktober ini dan beberapa imej pengolokan sudah tersebar di Internet sejak seminggu lalu.

Berdasarkan imej berkenaan, iPhone 12 mempunyai tetapan empat lensa di bahagian belakang yang diletakkan secara segi empat manakala rekaan fizikalnya mirip kepada generasi iPhone 4.

Peranti berkenaan pastinya akan menggunakan pemproses Apple Bionic A14 yang didakwa mempunyai rekaan 5nm cip pemprosesan.

Tetapan empat lensa berkenaan pastinya memberi fokus kepada keupayaan rakaman imej lebih baik serta operasi kamera di bawah pencahayaan yang lebih optimum.

Selain itu, peranti berkenaan juga akan menyokong sistem jaringan 5G sekali gus menjadi peranti paling maju dalam kelasnya.

Terbaru, peranti itu juga akan menyokong sistem navigasi BeiDou-3 dan perkara itu diumumkan oleh pengurus sistem berkenaan iaitu Ran Chenggi.

Sistem navigasi BeiDou-3 boleh digunakan lebih 100 negara di seluruh dunia dan jika benar perkara berkenaan, Apple pastinya mempunyai penguasaan yang lebih baik berbanding peranti lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 10:20 PM