GEMBIRA hasil kreatif bahan kitar semula dapat sambutan menggalakkan.
GEMBIRA hasil kreatif bahan kitar semula dapat sambutan menggalakkan.
Mohd Amin Jalil

Bahan buangan atau terpakai bukan saja mampu menjadi hiasan rumah yang unik dan bersifat eksklusif, tetapi juga bernilai tinggi, jika seseorang itu pandai mengubahnya.

Terdapat beberapa barangan yang boleh dikitar semula bagi membentuk produk baru yang berbeza dari segi rupa dan fungsinya. Justeru itu, tidak hairanlah ada segelintir peminat dan pengusaha yang melakukan aktiviti itu sama ada secara sampingan mahupun sepenuh masa dengan menjadikan ia sebagai sumber menambah pendapatan.

Kreativiti Haslinda Abd Latif, 34, dari Taman Seremban Jaya Senawang, Seremban Negeri Sembilan, begitu terserlah apabila menggunakan bahan terbuang bagi dijadikan produk baru yang kemudian dijual kepada mereka yang berminat membelinya.

Dia menggunakan beberapa bahan terbuang antaranya perca kain, seluar jean, botol minuman dan bekas makanan untuk dijadikan pelbagai produk seperti bantal, tilam bayi, aksesori kenderaan dan kediaman, tuala tangan, bekas telur, sarung kusyen, beg tangan, cadar dan perkakasan perkahwinan.

Suri rumah yang juga ibu kepada tiga orang anak berusia 12, 15 dan 19 tahun itu berkata, aktiviti berkenaan yang bermula pertengahan 2015, dijalankan di rumahnya.

GAUN perca kain yang tampak istimewa.
GAUN perca kain yang tampak istimewa.

“Saya cuba memanfaatkan semua bahan terbuang terbabit untuk dibuat pelbagai produk kerana mendapati ia mampu menambah pendapatan selain dapat mengisi masa terluang.

“Walaupun aktiviti itu dilakukan di rumah, tetapi sambutan amat baik malah pelanggan tidak putus membuat tempahan,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, pada mulanya dia melakukan aktiviti itu sekadar hobi bagi memenuhi masa lapang terutama pada hujung minggu dan cuti umum, tetapi selepas mendapat sambutan, dia meningkatkan lagi produktiviti dengan mengeluarkan lebih banyak produk.

“Alhamdulillah, melalui aktiviti sampingan itu, saya mampu meraih pendapatan antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan. Setiap satu barangan dijual antara RM8 hingga RM250 mengikut jenis dan saiz,” katanya.

Bagi memastikan produk yang dihasilkan unik dan menarik serta mempunyai nilai tersendiri, Haslinda berkata, dia mengikuti beberapa kursus anjuran agensi kerajaan dan swasta termasuk dengan Pusat Latihan Kraftangan EPAL dan Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Sembilan (JPWNS).

Menurutnya, kursus itu digunakan dengan sebaik mungkin bagi mencipta produk yang lebih berkualiti dan berbeza daripada yang dikeluarkan usahawan lain selain mampu menyiapkan tempahan dalam tempoh singkat.

“Hasil kursus itu memberi manfaat untuk saya kembangkan lagi bakat selain dapat mempelbagaikan produk sekali gus memberi banyak pilihan kepada pembeli.

“Malah, sesuatu produk itu seperti bekas pensil dan cenderahati boleh disiapkan dalam tempoh beberapa jam saja manakala cadar dan beg mungkin mengambil masa antara dua ke tiga hari, bergantung kepada reka bentuk yang dimahukan pelanggan,” katanya.

HASLINDA menunjukkan beg comel dan kreatif yang dihasilkannya.
HASLINDA menunjukkan beg comel dan kreatif yang dihasilkannya.

Haslinda yang turut terbabit dalam projek menjahit beg gergasi anjuran Pusat Latihan Kraftangan EPAL pada 2016 sehingga tercatat dalam Malaysia Book of Record (MBR) pada 2016, berkata, minatnya dalam bidang jahitan mula berputih sebaik tamat sekolah menengah dan kemahiran berkenaan diwarisi daripada ibunya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia tidak memerlukan modal yang besar untuk memulakan aktiviti berkenaan kecuali sebuah mesin jahit dan mesin jahit tepi selain beberapa bahan berkaitan yang perlu dibeli di kedai.

Menurutnya, walaupun terpaksa bersaing dengan pelbagai produk berkaitan di pasaran, namun dia berpuas hati dengan sambutan diberikan pelanggan, bukan saja dari sekitar daerah Seremban, malah dari luar.

“Setakat ini, saya puas hati dengan aktiviti ini kerana ramai pelanggan baru yang menempah dan ada ketikanya tidak cukup tangan untuk menyiapkan tempahan,” katanya.

Beliau bercita-cita menjadi usahawan berjaya suatu hari nanti dan sedang berusaha mengembangkan lagi aktiviti ekonomi bagi menambah pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 2:05 PM