KOLEKSI remaja terkini.
KOLEKSI remaja terkini.
Siti Nadirah Hafidzin

MENGAMBIL inspirasi ‘taman impian’ yang mempunyai elemen dekoratif menggunakan pelbagai rona menjadikan koleksi khusus untuk remaja ini sesuatu yang memukau.

Menggunakan material antaranya sutera dan net lembut untuk menghias busana berjaya menghasilkan koleksi segar yang berbeza.

Menurut pengasas Twoo Official Mohamad Fareez Abdullah yang bergandingan bersama rakan karibnya, pihaknya menggunakan kain perca dengan rona ceria sebagai satu kelainan yang diketengahkan.

“Walaupun nampak unik dan berbeza, koleksi ini dijual dengan harga berpatutan bagi tidak membebankan pelanggan terutama pencinta fesyen.

CANTIK dan manis dipandang.
CANTIK dan manis dipandang.

“Kami juga menyasarkan remaja yang inginkan kelainan dalam berpakaian dan koleksi ini sesuai untuk digayakan ke majlis seperti pementasan hasil karya seni dan karpet merah,” katanya.

Menurutnya, warna yang digunakan sesuai dengan trend terkini antaranya rona berani yang diselitkan rona pastel.

“Sebagai contoh, rona pastel dipadankan dengan dekorasi bunga daripada bahan terbuang yang dipadankan dengan skirt bercetak bermotifkan serangga menyerlahkan lagi nilai eksentrik dalam pemakaian.

TAWAR koleksi berbeza.
TAWAR koleksi berbeza.

“Konsep eksentrik menjadi elemen utama dalam koleksi ini bagi memberi kelainan dalam berpakaian dan pada masa sama koleksi ini juga boleh dipakai dengan konsep suai padan,” ujarnya.

Katanya, pihaknya berharap idea yang mencetuskan kelainan menggunakan kain perca itu dapat diterima umum terutama pencinta fesyen yang sentiasa mahukan koleksi unik.

“Koleksi ini boleh mula didapati bermula bulan ini selain kami juga menerima tempahan menghasilkan pelbagai jenis busana mengikut kehendak pelanggan.

“Kami sentiasa bawakan kelainan dan ia antara kelebihan jenama kami dalam dunia fesyen tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 8:57 AM