NUR Azira membantu ramai wanita melalui kelas kraf dalam talian dijalankannya.
NUR Azira membantu ramai wanita melalui kelas kraf dalam talian dijalankannya.
Siti Nadirah Hafidzin


Niatnya murni. Dia memasang impian untuk membantu wanita terutama golongan suri rumah atau mereka yang ingin menambah pendapatan yang mempunyai kemahiran untuk digunakan pada masa memerlukan.

Berlandaskan niat itu, anak kelahiran Baling, Kedah, Mur Azira Mohd Pakri, 39, tidak mensia-siakan kelebihan ‘tangan seni’ yang dimilikinya dalam bidang kraf untuk memastikan lebih ramai wanita mampu berdikari.

Katanya, segalanya bermula selepas dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada 2014.

“Disebabkan tidak biasa duduk diam tanpa melakukan sebarang pekerjaan, saya mula mencari sesuatu yang bukan saja dapat menjana pendapatan malah pada masa sama mampu membantu wanita lain.

“Bermula detik itu, saya mula memikirkan apa yang saya boleh lakukan dengan bakat dan minat saya dalam bidang kraf sehinggalah tercetusnya idea untuk menjalankan kelas pembelajaran kraf dan kelas persendirian kraf secara dalam talian,” katanya.

MUR Azira bersama antara produk kraf dihasilkannya.
MUR Azira bersama antara produk kraf dihasilkannya.

Mur Azira berkata, usahanya mewujudkan kelas pembelajaran secara dalam talian itu sesuai dengan status dirinya yang juga seorang isteri serta ibu kepada tiga cahaya mata.

“Segala yang terjadi pasti ada sebab dan hikmah di sebaliknya. Pada mulanya hasrat saya berhenti kerja untuk menumpukan perhatian kepada keluarga, namun siapa sangka ini masanya untuk menyalurkan kemahiran serta ilmu yang ada dalam bidang kraf kepada orang lain.

“Ia amat menggembirakan kerana saya sememangnya memasang impian untuk berkongsi kemahiran dalam bidang kraf. Saya berasa lebih puas dan seronok setiap kali dapat membantu individu lain,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini dia sudah mengajar lapan kelas berbeza secara atas talian untuk pelbagai produk kraf antaranya beg, sulaman dan dompet kepada lebih 1,000 peserta termasuk dari Singapura dan Brunei yang terdiri daripada pelbagai bangsa juga latar belakang pendidikan.

KRAF menerima permintaan menggalakkan kini.
KRAF menerima permintaan menggalakkan kini.

“Saya memilih membuat kelas secara dalam talian iaitu di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp kerana ia lebih mudah, praktikal dan sesuai untuk pelbagai lapisan usia.

“Sesiapa saja boleh belajar dan buat masa ini saya amat gembira dengan sambutan diterima dan rata-rata peserta kelas melahirkan rasa puas hati dengan inti pati pengajaran yang saya lakukan,” ujarnya.

Tambahnya, antara senarai kelas kraf dalam talian dijalankannya adalah Curvy Clutch, Multi Usage Pouch/Make Up Pouch, RPH/File/Book Cover, Bento Bag/Lunch Box Bag, Daily Tote Bag, Basic Boxy Bag, Big Boxy Bag dan Reversible Pleated Tote Bag.

“Sebagai guru kraf pastinya saya mengharapkan setiap apa yang saya kongsikan dapat diguna pakai peserta terutama untuk menjana pendapatan.

“Produk kraf ini istimewa kerana bukan semua individu mampu menghasilkannya dan ia mendapat permintaan yang memberangsangkan,” katanya.

Kraf sebati dalam diri

Bukan saja sibuk mengendalikan kelas pengajaran secara dalam talian, Mur Azira turut menghasilkan pelbagai produk kraf untuk menjana pendapatan.

Menurut Mur Azira, antara produk kraf dihasilkannya adalah kotak pensel, beg bento, beg genggam, beg alat solek, sarung buku, dompet dan sarung fail.

“Saya menyiapkan produk berdasarkan permintaan daripada pelanggan. Selain pelbagai jenis beg, saya juga menghasilkan pelbagai jenis sulaman di tuala, bantal, lencana dan beg.

“Walaupun sibuk dengan kelas dan penghasilan produk selain menguruskan suami juga anak-anak, saya sedikit pun tidak rasa terbeban malah melalui hari dengan tenang dan gembira kerana dapat melakukan perkara yang diminati sejak kecil,” katanya.

Menurutnya, bidang kraf sudah sebati dengan dirinya dan dalam masa sehari tangan seninya pasti akan menyiapkan apa saja produk kraf terutama yang ditempah pelanggan.

CANTIK dan unik.
CANTIK dan unik.

“Bagi saya setiap individu itu ada minat tersendiri, begitu juga dengan diri saya. Kraf bukan saja membantu saya menjana pendapatan, malah pada masa sama membolehkan saya membantu ramai wanita terutama suri rumah.

“Saya gemar berkarya pada waktu tengah malam ketika ramai individu lain lena dibuai mimpi selain ketika anak-anak berada di sekolah kerana dua waktu itu membolehkan saya menyiapkan produk dengan tenang,” ujarnya.

Mur Azira berkata, dia sentiasa memasang impian tinggi dan berhasrat untuk berkongsi lebih banyak kemahiran dan ilmu produk kraf yang lain kepada suri rumah untuk manfaat diri dan seisi keluarga.

“Saya juga akan cuba menulis blog dan mengikuti kelas e-book bagi memperkembangkan lagi perniagaan kraf ini di peringkat yang lebih tinggi.

“Saya tidak akan berhenti berkongsi kemahiran dalam bidang ini kerana bagi saya kepuasan sebenar dapat dirasai apabila ramai individu lain dapat menjana pendapatan hasil tunjuk ajar dan bantuan kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 3:01 PM