BURGER berbentuk kek yang dihasilkan untuk majlis perkahwinan. FOTO Nur Izzati Mohamad
BURGER berbentuk kek yang dihasilkan untuk majlis perkahwinan. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas:Kebiasaannya untuk menyambut hari lahir atau apa saja keraian, perlu ada sebiji kek untuk dikongsi bersama tetamu.

Bagaimanapun, sepasang suami isteri dari Kampung Permatang Rambai, Penaga, mencipta keunikan tersendiri apabila menghasilkan burger bersaiz besar buat mereka yang mahukan pengganti kek.

Siti Umairah Sabudin, 33, dan suaminya, Muhamad Hasseni, 31, mengambil keputusan berhenti kerja di kilang untuk menumpukan perniagaan burger berbentuk kek yang mula diusahakan mereka sejak empat tahun lalu.

“Idea tercetusnya penghasilan burger kek ini apabila saya menyuarakan keinginan untuk makan namun tidak banyak yang menjualnya hingga kami berdua menghasilkannya sendiri.

PASANGAN pengantin memotong burger kek yang menjadi tarikan tersendiri pada majlis perkahwinan mereka. FOTO Nur Izzati Mohamad
PASANGAN pengantin memotong burger kek yang menjadi tarikan tersendiri pada majlis perkahwinan mereka. FOTO Nur Izzati Mohamad

“Lama-kelamaan ada pula yang minta kami pasarkan dan menyebabkan kami berdua serius mempelajari cara menghasilkan burger ini hingga kami mempunyai kedai jualan serta bengkel,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Memilih jenama MTCT hasil gabungan nama mereka, pasangan terbabit menghasilkan burger pelbagai saiz dengan harga antara RM18 hingga ada yang mencecah RM480 sebiji.

Burger kek yang dihasilkan mereka untuk pelbagai majlis seperti perkahwinan, pertunangan dan sambutan hari lahir, mengikut pesanan pelanggan.

Siti Umairah berkata, daging burger dan roti 100 peratus dihasilkan sendiri tanpa menggunakan sebarang bahan pengawet.

“Dulu saya minta bantuan daripada saudara yang mahir membuat roti, namun saya mula mempelajari cara membuatnya sendiri.

MUHAMAD Hasseni menyiapkan tempahan burger berbentuk kek   sambil disaksikan  Siti Umairah di bengkel pasangan terbabit dekat Kampung Permatang Rambai, Kepala Batas. FOTO Nur Izzati Mohamad
MUHAMAD Hasseni menyiapkan tempahan burger berbentuk kek sambil disaksikan Siti Umairah di bengkel pasangan terbabit dekat Kampung Permatang Rambai, Kepala Batas. FOTO Nur Izzati Mohamad

“Ia memberi kepuasan, apatah lagi selepas memperoleh bantuan peralatan daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) iaitu ketuhar dan mesin penguli roti, sekali gus meningkatkan tempahan,” katanya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia dan suami berhasrat untuk mempunyai kafe yang lebih memberi kemudahan kepada pelanggan.

“Tidak seperti hari ini, pelanggan terpaksa menempah burger kek mereka terlebih dulu. Jika ada kafe kelak mereka boleh terus mendapatkannya tanpa membuat tempahan,” katanya.

Sementara itu, Muhamad berkata, burger kek ciptaannya bersama isteri itu boleh diubah suai mengikut cita rasa pelanggan.

“Ia terpulang kepada pelanggan untuk menentukan saiz, corak
dan warna roti yang diinginkan mereka sebelum membuat pesanan.

“Burger ini juga sama seperti kek kerana kita boleh menulis apa jua ucapan yang diminta pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 7:17 AM