BERMAIN dengan alam dapat membentuk kendiri kanak-kanak.
BERMAIN dengan alam dapat membentuk kendiri kanak-kanak.
CONGKAK antara permainan tradisional yang mempunyai banyak kebaikan.
CONGKAK antara permainan tradisional yang mempunyai banyak kebaikan.
BERMAIN dengan alam dapat membentuk kendiri kanak-kanak.
BERMAIN dengan alam dapat membentuk kendiri kanak-kanak.
PEMBELAJARAN menerusi kaedah bermain membuatkan kanak-kanak tidak tertekan.
PEMBELAJARAN menerusi kaedah bermain membuatkan kanak-kanak tidak tertekan.
Siti Zarinah Sahib


Memasuki dua bulan terakhir setiap tahun pastinya ramai ibu bapa tercari-cari prasekolah atau tadika sesuai untuk anak mereka. Setiap tadika menawarkan kepelbagaian silibus dan konsep berbeza sama ada menggunakan pendekatan pembelajaran di kelas, kemahiran fizikal, emosi atau berteraskan al-Quran.

Di Malaysia, jenis prasekolah biasanya bergantung kepada usia anak. Ibu bapa menghantar anak ke tadika pada usia empat tahun ke atas manakala kanak-kanak di bawah empat tahun dihantar ke pusat penjagaan kanak-kanak atau taska di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

Penyelidikan menunjukkan kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun berada pada tahap paling genting terutama proses perkembangan dan pembelajaran mereka. Ia bukan hanya memberikan tumpuan kepada pendidikan semata-mata sebaliknya membina sahsiah diri agar terbentuk menjadi insan bertanggungjawab dan tahu menghargai orang lain.

Bagi membina jati diri anak, antara keperluan penting adalah memilih prasekolah yang tepat agar rohani dan emosi anak dapat dibina seimbang bukan hanya pembelajaran di kelas semata-mata.

BERMAIN DIDIK SAHSIAH DIRI

Menjelaskan lebih lanjut menurut Penyelaras Prasekolah Makmal Perkembangan Kanak-kanak, Pusat Penyelidikan Keluarga, Remaja dan Kanak-Kanak (Face) Universiti Putra Malaysia (UPM) Nani Menon, kini ibu bapa seakan-akan terlupa mengenai fitrah anak iaitu memerlukan proses bermain dalam kehidupan mereka walaupun sudah dihantar ke sekolah.

Ini seperti yang dinyatakan dalam al-Quran mengenai cara didikan Rasulullah SAW terhadap anak baginda. Pada usia satu hingga enam tahun, Rasulullah menyuruh ibu bapa memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang. Anak diajar dengan lembut dan tidak dimarahi.

“Kaedah yang sama digunakan ibu bapa pada masa dahulu apabila mereka menggalakkan anak meneroka dan bermain dengan segala bentuk permainan dalam persekitaran mereka. Misalnya permainan baling selipar, teng-teng, congkak, pondok-pondok atau guli mempunyai banyak maksud tersirat.

“Pada usia sekitar empat dan lima tahun mereka sudah mengenali kawan sebaya dan bermain dalam kumpulan. Apabila bergaduh mereka tahu cara menanganinya, bersabar menunggu giliran, akur pada peraturan dan bekerjasama bagi memastikan kumpulan masing-masing berjaya.

“Apabila kalah anak ini berusaha mengatur strategi agar mampu memenangi pertandingan pada masa akan datang. Cara berfikir dan mengatur strategi ini juga adalah salah satu asas dalam berfikir aras tinggi yang ditekankan di sekolah,” katanya.

Dalam fasa ini anak belum mampu membaca atau menulis tetapi pembentukan sahsiah diri sudah mula terbentuk. Namun apabila institusi pendidikan dilihat sebagai sesuatu yang formal, pendidikan untuk prasekolah turut dilihat cenderung dengan memberi penekanan kepada akademik iaitu kebolehan membaca, mengira dan menulis sehingga mengabaikan sahsiah dan emosi anak.

“Apa yang saya katakan ini bukanlah bermakna proses pembelajaran di kelas tidak penting tetapi pada usia tiga hingga enam tahun ia bukanlah tunjang utama. Seperti yang dinyatakan oleh Bredekamp & Copple pada 1997, mengenai neuro. Dia menyatakan kebanyakan hubungan sinaps akan kekal sebanyak 80 peratus sekiranya dibina pada usia tiga tahun pertama.

“Dalam tempoh ini kanak-kanak belajar bergaul, melerai konflik, interaksi memujuk dan meneroka dunia persekitaran yang hanya boleh diperoleh menerusi bermain. Oleh itu adalah penting sejak lahir mereka diberikan pengalaman pembelajaran dengan rangsangan positif lebih kerap supaya sinaps yang terbentuk menjadi kekal,” katanya.

RANGSANG SEL OTAK

Kajian perkembangan kanak-kanak pula menyatakan sejak lahir (malah ketika dalam kandungan) si kecil sudah mampu belajar. Penyelidik sains neuro yang mengkaji otak kanak-kanak mengakui pembentukan kecerdasan bermula sejak kanak-kanak lahir.

Bayi baru lahir misalnya belajar mengenal ibu bapa atau pengasuh secara melihat, menghidu, mendengar atau mengecam suara serta merasai kelembutan sentuhan tangan mereka. Pengalaman melalui lima deria ini disimpan dalam bentuk hubungan sinaps dalam otaknya. Sebab itu pengalaman awal kanak-kanak mempunyai impak yang besar kepada seni bina otak sehingga dewasa.

Katanya, penekanan terlalu banyak kepada akademik menyebabkan interaksi dan penerokaan individu tidak berlaku. Bayangkan kanak-kanak hanya bermain dengan peralatan seperti pensel, meja serta buku. Berbeza bagi anak yang didedahkan dengan konsep bermain kerana mereka boleh memahami bahasa alam menerusi penggunaan semua deria.

“Selain itu bermain juga membantu dalam tumbesaran dan pembentukan deria. Pada usia sebegini anak melalui fasa perkembangan fizikal pada tahap yang cepat. Sekiranya tiada aktiviti fizikal badan tidak sihat sedangkan ia penting dalam proses pembelajaran mereka,” katanya.

Jelas Nani, manusia dilahirkan dengan 100 bilion neuron (sel otak) dan bilangan ini perlu dirangsang bagi membolehkan berhubung di antara satu sama lain. Neuron ialah punca kepada fungsi otak dan mempunyai cabang dinamakan dendrit.

Hubungan di antara satu neuron dengan neuron yang lain berlaku pada sinaps bahan kimia dinamakan neurotransmitter. Seumpama aliran arus elektrik maklumat atau impulse akan merangsang pengeluaran neurotransmiter bagi membolehkan neuron berhubung antara satu sama lain.

“Apabila neuron tidak dirangsang ia akan mengecut. Rangsangan pula berlaku dalam pelbagai cara dan bermain adalah satu aktiviti yang mampu menghubungkan neuron. Bagi kanak-kanak yang tidak mempunyai pengalaman seperti memegang pasir, melihat tumbuh-tumbuhan atau bermain air mereka tidak dapat membayangkan apa yang diceritakan. Ketika memasuki sekolah rendah kanak-kanak ini mungkin sukar mengeluarkan maklumat disebabkan tidak pernah melaluinya,” katanya.

PELBAGAI CARA BELAJAR

Kanak-kanak tidak seharusnya didedahkan dengan pembelajaran menerusi satu cara saja. Misalnya cara melihat, mendengar atau melakukan sesuatu agar mudah diingati dan difahami. Memahami cara belajar akan membolehkan pelajar menyerap dengan mudah ilmu yang disampaikan oleh guru.

“Misalnya kanak-kanak visual menyerap informasi yang dibaca atau dilihat dengan mudah. Auditori pula pembelajaran melalui pendengaran manakala mereka yang termasuk dalam golongan kinestetik cepat memahami maklumat sekiranya diberikan contoh atau bayangan terlebih dulu. Selepas mengetahui tahap kebolehan mereka, guru tidak hanya menyediakan pengajaran menerusi satu cara sebaliknya bergantung kepada kebolehan pelajar. Cara ini tidak membuatkan anak-anak tertekan,” katanya.

Bagi ibu bapa pula janganlah menginginkan anak berjaya dalam akademik saja. Apa yang penting si kecil seharusnya diajar kemahiran urus diri seperti menggunakan tandas, adab ketika makan, membasuh tangan, menutup air dan lampu serta menjaga kebersihan. Ilmu yang diberikan di sekolah akan melahirkan kanak-kanak yang lebih bertanggungjawab, jujur dan mempunyai sifat ingin membantu.

Berbeza dengan penampilan kanak-kanak yang hanya ditekankan pendidikan, pembentukan sahsiah dan personaliti mereka tidak terbentuk dengan baik. Namun ramai ibu bapa hari ini inginkan anak menjadi manusia ‘dewasa’ yang cepat matang dalam semua segi.

Mereka inginkan anak cepat membaca, menulis dan mengira sehinggakan ada yang mengukur kepandaian sebagai penanda aras kejayaan ibu bapa mendidik anak. Sedangkan fitrah mereka masih lagi seorang anak-anak yang lincah dan lasak.

“Sebab itu di Face kami menekankan pembelajaran menerusi keseronokan kerana ia sangat penting dalam pembentukan emosi dan rohani kanak-kanak. Pembelajaran juga bukan hanya menerusi buku tetapi anak-anak mempunyai masa bermain di dalam kelas dan di luar bilik darjah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 1:20 PM