SYAZA Soraya berusaha mendapatkan perhatian umum mengenai pendidikan atau pembelajaran alam semula jadi.
SYAZA Soraya berusaha mendapatkan perhatian umum mengenai pendidikan atau pembelajaran alam semula jadi.
Nurul Husna Mahmud

Memori zaman kanak-kanak Syaza Soraya Sauli sebagai anak kampung membuatkan dirinya bebas meneroka alam semula jadi.

Kegiatan luar seperti bermain selut, memanjat pokok dan menangkap pelbagai jenis serangga atau haiwan ibarat permainan paling menyeronokkan ketika itu.

Malah, Syaza Soraya, 32, yang kini bergelar pensyarah di Kolej Universiti Selatan (SUC), Skudai, Johor menyimpan impian 'keseronokkan' itu boleh dihayati atau dialami kanak-kanak hari ini.

Katanya, interaksi kanak-kanak zaman ini terhadap alam semula jadi sangat terhad berbanding di zaman kanak-kanaknya yang bebas meneroka alam.

"Perkara membimbangkan saya ialah kanak-kanak masa kini tidak lagi dapat mengenal alam. Mereka tidak dapat membezakan pokok buah dan bunga, serangga mahupun haiwan.

"Berbanding pengetahuan dari sudut akademik atau kecekapan mengendalikan aplikasi di telefon pintar, mereka jauh lebih ke hadapan, namun pengetahuan mengenai alam semula jadi sangat rendah.

"Bagi saya situasi itu tidak sepatutnya berlaku dan mengenai alam semula jadi seharusnya diterapkan seawal usia peringkat prasekolah," katanya yang juga penerima Geran Anugerah Merdeka 2023 oleh Petronas dan Shell.

ANTARA aktiviti boleh dilakukan kanak-kanak.
ANTARA aktiviti boleh dilakukan kanak-kanak.

Menerusi geran itu Syaza Soraya berpeluang belajar dengan pakar berkaitan bidang pengetahuan alam sekitar di Pusat Pendidikan Alam Sekitar, Universiti Minnesota, Duluth di Amerika Syarikat.

Kata Syaza Soraya lagi, dengan peluang itu, dia berharap dapat membantu kanak-kanak meneroka kewujudan alam semula jadi dengan lebih berani.

"Sebenarnya dalam silibus pembelajaran tempatan sudah ada subjek kelestarian alam sekitar yang memperuntukkan kira-kira 20 minit dalam satu minggu.

"Pandangan peribadi saya, tempoh itu tidak memadai untuk kanak-kanak mempelajari apatah lagi berinteraksi dengan alam.

"Tidak kurang juga segelintir institusi terutama di peringkat pendidikan awal kanak-kanak, anak didik mereka didedahkan dengan pembelajaran tidak dalam 'setting' sebenar pun kerana berasakan aktiviti itu terlalu berisiko.

"Kesannya anak terbabit tiada pengalaman dan pengetahuan yang tepat selain kemungkinan efek sampingan negatif seperti rasa geli atau tidak selesa apabila ada keperluan mereka melakukan aktiviti atau berinteraksi dengan alam semula jadi," katanya.

SOKONGAN dan restu keluarga menjadi penguat kepada usaha Syaza Soraya.
SOKONGAN dan restu keluarga menjadi penguat kepada usaha Syaza Soraya.

Melihat aspek itu, ibu dua kanak-kanak perempuan (lapan dan lima tahun) ini mengambil inisiatif memperkasakan nilai kelestarian alam sekitar dalam kalangan kanak-kanak prasekolah di Malaysia melalui modul pembelajaran berasaskan alam semula jadi yang komprehensif.

Bagi merealisasikan inisiatif terbabit, dia berkongsi usahanya membangunkan modul pendidikan yang mengintegrasikan pembelajaran berasaskan alam semula jadi dalam kurikulum prasekolah.

"Seterusnya dalam memupuk hubungan antara kanak-kanak dan dunia semula jadi, saya perlu merangka modul yang dapat membantu interaksi terbabit.

"Berdasarkan pengalaman saya ketika meninjau program luar seperti Australia dan Singapura, mereka mempunyai pendekatan tersendiri untuk membantu kanak-kanak dekat dengan alam semula jadi.

"Contohnya di Australia, mereka ada program Bush atau Bush School, sementara Singapura, persekitaran bilik darjah dengan sengaja 'meniru' suasana malar hijau ada dekat dengan alam bagi 'membawa' kanak-kanak merasai pengalaman itu.

"Harapan saya apabila keluar dan berguru dengan mereka yang pakar dalam program pembelajaran alam semula jadi untuk kanak-kanak, saya boleh rangka modul khas sesuai dengan keperluan anak Malaysia.

"Ini juga membantu kanak-kanak lebih empati dan prihatin dengan dunia hijau," katanya.

SENTIASA mencari ilmu dan kemahiran dalam merealisasikan modul pelajaran alam semula jadi.
SENTIASA mencari ilmu dan kemahiran dalam merealisasikan modul pelajaran alam semula jadi.

Penyelidikan Syaza Soraya terhadap keperluan kanak-kanak mempunyai pengetahuan alam semula jadi adalah berdasarkan pengalaman mengajar di sekolah antarabangsa dan institusi pengajian tinggi selama beberapa tahun.

Beliau adalah pemegang ijazah dalam Bahasa Melayu dan komunikasi profesional serta sarjana dalam psikologi dan pendidikan berharap dapat merangsang minat terhadap alam semula jadi dalam kalangan kanak-kanak.

"Saya melihat banyak masalah yang dihadapi kanak-kanak pada masa kini seperti 'pseudo-autism'.

"Kanak-kanak ini pada dasarnya tidak menghidap autisme, tetapi mereka mengalami gejala autisme kerana terlalu banyak masa skrin. Disebabkan masa skrin yang berlebihan ini, mereka tidak bergaul dengan orang ramai dan mengurangkan tumpuan.

"Kepentingan pembelajaran berasaskan alam semula jadi juga asas pembangunan sahsiah manusia.

"Ingat ketika kita kecil, kita bermain di luar, kita jatuh dan bangun semula, bukan? Kanak-kanak hari ini, bagaimanapun jarang menceburkan diri di luar, menjadikan mereka kurang tabah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 7:01 AM