MATA kanak-kanak harus dijaga dan diberi pemantauan ibu bapa.
MATA kanak-kanak harus dijaga dan diberi pemantauan ibu bapa.
Hafiz Ithnin


PERNAHKAH anda membuat pemeriksaan mata terhadap anak anda?

Gangguan penglihatan antara faktor yang mengganggu fokus anak anda terutamanya ketika belajar.

Pensyarah Kanan, Jabatan Oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pakar Perunding dan Pakar Bedah Mata Hospital Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Adil Hussein berkata, gangguan penglihatan pada peringkat kanak-kanak boleh mengakibatkan gangguan kepada proses perkembangan minda dan perkembangan sahsiah individu.

Jelasnya, gangguan penglihatan pada peringkat awal kanak-kanak mampu mengakibatkan gangguan perkembangan pembesaran yang normal.

"Kanak-kanak ini biasanya akan mengalami perkembangan yang lebih lambat berbanding kanak-kanak normal. Pada peringkat awal, mereka akan ada masalah untuk merangkak dan berjalan, belajar membaca dan menulis, berkomunikasi, bermain dan bersosial.

"Semua gangguan ini akan membantutkan perkembangan fizikal, emosi dan intelektual kanak-kanak. Mereka akan tertinggal di dalam pelajaran di sekolah dan seterusnya akan tercicir dari alam persekolahan," katanya.

Pakar itu berkata, hal itu sebenarnya boleh dicegah sekiranya pengesanan awal dapat dilakukan dan dirawat dengan betul.

Jelasnya, ibu bapa adalah yang paling rapat dengan anak-anak mereka dan pengesanan awal sebenarnya boleh dilakukan di rumah dengan hanya menumpukan perhatian kepada aktiviti harian serta pengajaran selain pembelajaran anak-anak.

MASALAH rabun sejak kecil berlaku dalam kalangan kanak-kanak.
MASALAH rabun sejak kecil berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

"Gangguan penglihatan ini boleh berlaku dalam pelbagai tahap teruk dari hanya pandangan yang kabur kepada penglihatan terhad dan pada tahap merbahaya apabila sampai jadi buta.

"Malah gangguan penglihatan pada kanak-kanak boleh diakibatkan pelbagai faktor atau penyakit. Ia boleh berlaku ketika di dalam kandungan, ketika kelahiran atau ketika proses perkembangan kanak-kanak berkenaan," katanya.

PERHATIKAN tahap tumpuan pembelajaran kanak-kanak kerana kemerosotan tumpuan disebabkan mata.
PERHATIKAN tahap tumpuan pembelajaran kanak-kanak kerana kemerosotan tumpuan disebabkan mata.

Antara faktor yang biasanya berlaku menyebabkan gangguan penglihatan pada kanak-kanak adalah:

a. Penyakit-penyakit genetik seperti retinitis pigmentosa.

b. Gangguan perkembangan mata ketika kelahiran pramatang seperti retinopati pramatang.

c. Penyakit neurologi.

d. Jangkitan pada mata ketika proses kehamilan dan di dalam kandungan seperti rubella, cytomegalovirus, penyakit bawaan seks.

e. Kecacatan pembentukan mata seperti microphthalmia dan anophthalmia.

f. Kerosakan atau kecederaan pada mata, sistem saraf optik dan bahagian otak yang menjadi pusat proses penglihatan.

g. Penyakit biasa pada kanak-kanak seperti congenital glaucoma, katarak dan kanser mata (retinoblastoma).

Katanya,semua penyakit di atas, mungkin tiada tanda-tanda atau gejala dan mungkin kelihatan normal pada strukturnya tetapi tidak pada fungsinya.

Pakar berkenaan berkata, perkara itu menyulitkan lagi ibu bapa untuk mengesan masalah mata anak-anak pada peringkat awal.

"Tambahan pula, kanak-kanak pada usia prasekolah tidak tahu untuk memberitahu yang mereka sebenarnya tidak nampak.

"Namun begitu, sekiranya ibu bapa cuba ambil sedikit masa dan perhatikan bagaimana anak mereka menjalankan aktiviti harian serta aktiviti pembelajaran, mungkin mereka akan sedar ada yang tidak kena dengan anak mereka," katanya.

IBU bapa dapat mengetahui lebih awal tahap kesihatan mata si kecil jika peka kepada beberapa perubahan si anak.
IBU bapa dapat mengetahui lebih awal tahap kesihatan mata si kecil jika peka kepada beberapa perubahan si anak.

Tanda-tanda yang biasa berlaku dan mudah diperhatikan ibu bapa adalah:

a. Kebanyakan bayi akan mula fokus pada wajah dan objek ketika berumur empat hingga lima minggu. Apabila mencapai umur enam hingga lapan minggu mereka mampu untuk tersenyum apabila melihat wajah yang dikenali dan objek-objek tertentu. Sekiranya anak tidak dapat berbuat demikian ada kemungkinan anak anda mengalami masalah penglihatan.

b. Perhatikan kedudukan dan pergerakan mata anak-anak. Pergerakan mata yang tidak tetap atau pergerakan bolak balik secara cepat, ke kiri dan ke kanan (nystagmus) atau pergerakan mata tanpa tujuan (wandering eyes) juga adalah tanda masalah penglihatan.

c. Jangan abaikan sekiranya anak-anak menunjukkan tanda-tanda juling sama ada sebelah atau kedua-dua belah mata. Juling ini mampu mengakibatkan masalah penglihatan atau ia mungkin disebabkan oleh gangguan penglihatan.

d. Apabila bercakap dengan anak-anak perhatikan bagaimana mereka melihat anda. Mata yang tidak boleh mengikut kedudukan wajah anda atau objek yang diberikan atau tiada kontak mata ketika bercakap adalah tanda-tanda mereka mengalami gangguan penglihatan.

e.Secara refleksnya, kanak-kanak akan memberikan reaksi 'mengelak' atau menutup mata (berkelip) sekiranya mata didedahkan kepada

cahaya yang terang atau didekatkan sesuatu objek ke muka. Kegagalan berbuat demikian juga merupakan tanda mereka ada gangguan penglihatan.

f. Tiada ibu bapa yang akan melepaskan peluang merakamkan gambar tumbesaran anak-anak mereka sebagai kenangan. Sila perhatikan setiap gambar yang diambil dengan teliti terutamanya bila menggunakan 'flash'. Secara normalnya anak mata yang dikenakan cahaya 'flash' ini akan kelihatan merah di dalam gambar (red reflex). Hilangnya tanda red reflex ini atau kelihatan putih 'white reflex' sama ada pada sebelah mata atau kedua-duanya secara konsisten mungkin disebabkan oleh penyakit mata seperti katarak atau kanser mata (retinoblastoma).

g. Perhatikan bagaimana anak-anak membaca atau memegang objek. Anak yang ada gangguan penglihatan akan membaca atau memegang objek dekat dengan mata. Mereka sering berada begitu hampir dengan TV atau skrin komputer.

h. Anak-anak juga mudah hilang fokus bila membaca atau melakukan aktiviti yang memerlukan fokus penglihatan. Mereka biasanya akan mengadu letih dan mudah mengantuk. Perlakuan menggosok mata dengan kerap selepas atau sewaktu membaca atau melakukan aktiviti bermain mungkin tanda gangguan penglihatan.

i. Ketika mereka bermain, perhatikan bagaimana koordinasi mata dan tangan mereka. Lihat ketepatan mereka mengambil barang terutama barang yang kecil seperti manik atau guli. Sekiranya mereka mengambil masa yang lama untuk mengambilnya dengan tepat atau seperti meraba-raba maka mereka berkemungkinan ada gangguan penglihatan.

j. Kedudukan kepala juga boleh memberikan petunjuk masalah mata atau penglihatan. Kedudukan kepala yang agak terpusing (head turn and head tilt) atau mendongak juga tanda gangguan penglihatan.

k. Kanak-kanak juga akan kelihatan cuai dan mudah melanggar objek berdekatan di sekelilingnya.

l. Kanak-kanak yang mengalami masalah penglihatan ini biasanya kurang bersosial, tidak menyiapkan tugasan yang diberikan dan mengelak dari melakukan aktiviti yang diberikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 7:00 AM